Ke Udara

{{nowplay.song.artist}}

{{nowplay.song.track}}

Ke Udara

ERA

Muzik Hit Terbaik

Segmen Terkini

{{currentshow.name}}

{{currentshow.description}}

Segmen Terkini

ERA

Muzik Hit Terbaik

{{nowplay.song.artist}} Album Art Ke Udara

{{nowplay.song.track}}

{{nowplay.song.artist}}

Album Art Ke Udara

ERA

Muzik Hit Terbaik

{{currentshow.name}} {{currentshow.name}} Segmen Terkini

{{currentshow.name}}

{{currentshow.description}}

ERA Segmen Terkini

ERA

Muzik Hit Terbaik

berita hiburan era

Menangani Ancaman Cetak Rompak Digital #LayanOriJanganCuri - YB Altimet

Melalui nukilan YB Altimet mengenai pandangan tentang cabaran yang dihadapi oleh industri kreatif tanah air terutama berkaitan dengan cetak rompak digital yang semakin meruncing.
Nurazizi
07 May 2024, 03:57 PM

Melalui nukilan YB Altimet mengenai pandangan tentang cabaran yang dihadapi oleh industri kreatif tanah air terutama berkaitan dengan cetak rompak digital yang semakin meruncing.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai individu yang telah berkecimpung lebih dua dekad dalam industri seni kerana jenayah cetak rompak digital bukanlah sesuatu yang baru, namun ia kini menjadi ancaman yang semakin besar kepada industri hiburan kita.

Sebagai seorang individu yang telah berkecimpung lebih dua dekad dalam industri seni, beliau berasa bimbang dengan kesan cetak rompak digital terhadap karya seni dan juga pekerjaan ribuan individu dalam industri kreatif sehingga mencatat kerugian yang sangat besar setiap tahun. 

YB Altimet merayu kepada semua pihak untuk bersatu dalam melawan cetak rompak digital dan memberi sokongan kepada karya seni yang asli.

Sebagai wakil rakyat dan penyokong industri kreatif, beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama menegakkan prinsip #LayanOriJanganCuri, dan bersatu demi melindungi dan membangunkan industri kreatif negara kita.

Nukilan YB Altimet

Perkasakan Kreativiti Rakyat Malaysia, Ayuh Lawan Cetak Rompak Digital

Assalamualaikum, Malaysia.

Nukilan saya ini bukanlah sebagai Altimet, penyanyi rap dan pengusaha industri kreatif semata-mata, tetapi juga sebagai YB Syed Ahmad, seorang wakil rakyat yang berdedikasi bagi kawasan Lembah Jaya serta seorang ahli politik yang komited dalam memperjuangkan perubahan substantif bagi negara kita.

Sebagai seorang tokoh yang mempunyai pelbagai sisi, saya sudah berada di dalam dunia muzik selama lebih 2 dekad sebelum menceburi bidang politik dan menerusi pengalaman yang saya lalui inilah yang mendorong saya untuk bersuara pada hari ini. Ianya perihal ancaman cetak rompak digital yang semakin perit membelenggu industri kreatif kita.

Seiring dengan peredaran zaman yang kian moden, jenayah cetak rompak turut berevolusi. Masih segar dalam ingatan saya, bagaimana cakera CD cetak rompak laris dijual di pasar malam. Meskipun senario itu tiada lagi pada hari ini, namun gejala cetak rompak masih utuh. Kini, penularan jenayah cetak rompak berlaku di alam maya, menerusi penstriman atas talian yang dibuat secara haram. Tatkala ramai leka bergembira, asyik melayan kandungan kreatif secara percuma, saya telah melihat dengan anak mata saya sendiri bagaimana musibat ini telah memudaratkan rakan-rakan artis dan para penggiat seni, baik dari segi kewangan mahupun kreativiti mereka.

Bukan itu sahaja, jenayah cetak rompak digital turut memberi ancaman kepada ribuan pekerjaan dan masa depan industri kreatif Malaysia, bahkan Astro Awani juga pernah melaporkan bahawa jenayah terbabit telah memberikan kesan amat buruk kepada industri hiburan dan media negara, dengan kerugian tahunan dilaporkan lebih kurang RM3 billion dan RM500 juta pula merupakan kerugian dalam bentuk cukai.

Era Zaman 1990-an
Mengimbau kembali penglibatan awal saya sebagai seorang penyanyi rap, penulis lagu dan penerbit yang bercita-cita tinggi, pelancaran album sulung saya turut dicemari dengan penjualan salinan cetak rompak secara berleluasa. Saya telah bekerja keras untuk menghasilkannya dan begitu teruja untuk berkongsi karya saya dengan dunia, namun keterujaan itu tidak bertahan lama. Ia seakan-akan perasaan bangga terhadap hasil kerja saya telah dirampas; membuatkan saya tertanya-tanya tentang kemungkinan terjejasnya nilai karya kreatif.

Saya pernah hadir ke satu acara di mana mereka memainkan lagu-lagu saya yang dimuat naik di YouTube dalam kualiti rendah yang dirakam secara haram. Geram. Sakit hati. Dukacita. Semuanya ada. Penat lelah saya dan kru dalam menghasilkan karya muzik ibarat sia-sia saja. Tapi dari sudut lain, saya faham kenapa mereka berbuat demikian. Merekamenyukai lagu dan muzik saya, namun mereka mungkin tidak sedar kesan jangka panjang perbuatan itu apabila menikmati karya seni dengan cara sedemikian.

Melangkah ke Era Tahun 2000
Kini, gejala cetak rompak digitalsemakin berleluasa sekali gus menjadi ancaman yang lebih besar terhadap kelestarian industri hiburan. Kewujudan platform penstriman haram dalam internet yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan pertempuran terhadap jenayah cetak rompak digital kelihatan seperti tiada   berkesudahan. Disekat sahaja satu, lima yang akan tumbuh silih berganti.

Inilah cabaran baharu buat semua pihak yang berkepentingan. Dugaan yang mana ancamannya tidak pernah kita alami sebelum ini. Semakin lama ia dibiar membusung, semakin tenatlah industri hiburan tanah air kita dihurung bukan sahaja kerugian hasil, bahkan jua terhakisnya hak harta intelek.

Benar. Penyelesaian bagi menangani jenayah ini memerlukan usaha yang berterusan dan konsisten; lebih-lebih lagi kerana ia membabitkan usaha untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai. Bagaimanapun, saya percaya bahawa ia boleh dilakukan kerana saya pernah bertemu dengan peminat yang mengaku bahawa dahulunya mereka mendengar lagu saya secara haram, namun kini mereka tampil untuk memohon maaf.

Melindungi dan Membangunkan Industri Kreatif
Minat mendalam saya terhadap muzik dan kreativiti berjalan seiring dengan komitmen saya yang tidak berbelah bagi terhadap hak-hak rakan artis dan penggiat industri kreatif. Saya amat peka terhadap cabaran yang dihadapi oleh rakan pemuzik dan penggiat seni yang terkesan dengan cetak rompak digital. Melihat susah payah dan jerih yang dihadapi mereka, telah menyemarakkan lagi keazaman untuk saya meneruskan perjuangan dalam membanteras kegiatan jahat dah keji lanun-lanun digital ini.

Sudah tiba masanya untuk kita berhenti berpeluk tubuh dan mengambil tindakan tegas bagi melindungi integriti industri kreatif kita. Ambil peduli! Jangan buat-buat tak tahu. Ayuh semua rakyat Malaysia, marilah kita sama melindungi hasil seni kita demi masa hadapan industri kreatif negara.

Gerakan Politik: Mencari Arah Perubahan
Sebagai pendukung seni dan juga wakil rakyat, saya berikrar akan sentiasa komited untuk menggunakan platform yang saya ada bagi mewujudkan perubahan yang signifikan – perubahan yang benar-benar jitu. Ini termasuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk melaksanakan strategi menyeluruh bagi menangani cetak rompak digital, melindungi hak harta intelek, dan mempromosikan alternatif yang sahih.

Bersatu Menentang Cetak Rompak
Saya sedar bahawa perjuangan saya ini bukanlah mudah; penuh dengan ranjau sepanjang jalan. Namun akan saya harungi jua kerana ia adalah satu misi yang melangkaui kepentingan industri, yang mana pada asasnya berteraskan keadilan hak-hak artis dan para penggiat seni. Kita perlu bersatu sebagai satu kuasa kolektif, yang merangkumi bukan sahaja artis, tetapi pembuat dasar serta orang awam, untuk menangani jenayah ini.

Saya percaya, bersatu teguh, bercerai roboh. Kita boleh mencorak masa depan yang mana integriti industri kreatif kita terpelihara. Masa depan yang mana sumbangan artis terus dihargai dan selalu dilindungi. Marilah kita berdiri teguh dalam komitmen kita untuk memupuk budaya yang menghormati dan menyokong kreativiti untuk generasi akan datang dengan memastikan masa depan yang dinamik untuk seni muzik, hiburan dan budaya Malaysia. #LayanOriJanganCuri
 
Yang Benar,
YB Syed Ahmad @ Altimet

Filled Under :


*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.

Menarik

{{related.name}}

{{related.name}}