Kementerian Pengangkutan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat punca insiden LRT tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia termasuk meneliti sama ada sistem pertukaran landasan berfungsi dengan baik seperti sepatutnya.
Tambahnya, laporan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut sebelum didedahkan kepada umum.
Dalam pada itu, perkhidmatan tren di laluan Ampang – Sri Petaling dijangka dibuka semula Rabu ini selepas kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
__
Syarikat peruncit minyak diarah jalankan siasatan lanjut terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP BUDI95.
Kementerian Kewangan berkata ia susulan beberapa aduan babitkan dakwaan penggunaan MyKad tanpa kebenaran.
Pihaknya turut mengarahkan tindakan susulan yang sewajarnya diambil terhadap stesen terlibat.
Justeru, penerima BUDI95 digalakkan semak rekod transaksi di portal BUDI MADANI dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.
__
Baucar Buku MADANI RM100 akan tetap diberikan kepada pelajar sekolah menengah dan mahasiswa IPT di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu diteruskan meskipun kerajaan berdepan cabaran ekonomi susulan konflik Asia Barat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.