
Foto: Instagram
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno berdepan perhatian ramai apabila lagu Jodoh Lebaran menjadi topik perdebatan dalam kalangan warganet Malaysia dan Indonesia.
Advertisement
Menurut Aisha, karya tersebut dihasilkan dengan niat meraikan suasana Aidilfitri dan kebersamaan, bukannya untuk menimbulkan sebarang kontroversi seperti yang diperkatakan.
“Saya pun tak sangka perkataan lebaran boleh mencetuskan perdebatan. Pada November tahun lalu saya juga dikaitkan dengan isu batik. Seolah-olah ada pihak yang mahu saya memilih satu identiti sahaja.
"Ibu saya berasal dari Indonesia, manakala ayah pula dari Malaysia. Jadi apabila melihat perbalahan begini saya berasa sangat sedih.
“Tetapi saya tetap dengan pendirian. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan dalam masa sama menghargai darah Indonesia dalam diri saya,” katanya.

Foto: Instagram
Dalam masa sama, pemilik nama Sharifah Aisha Retno binti Sayed Sipulijam itu berharap perbalahan yang timbul tidak berlarutan dan menyeru orang ramai agar tidak memperbesarkan perkara tersebut.
“Saya percaya masa akan meredakan keadaan. Jika masih ada yang berkeras dengan pendapat masing-masing, biarkan sahaja.
"Saya sendiri datang daripada latar Malaysia dan Indonesia, jadi pertengkaran seperti ini tidak perlu diperbesarkan.
“Kita sepatutnya saling meraikan budaya dan berkongsi karya antara satu sama lain,” katanya lagi.
Walaupun menerima pelbagai reaksi, Aisha tetap terbuka menerima pandangan daripada pendengar. Namun begitu, dia mengakui kurang selesa dengan komen berbaur kasar yang dilemparkan segelintir pihak.

Foto: Instagram
“Maksud saya, itu bukan mengenai kekecewaan terhadap penerimaan lagu di Malaysia atau Indonesia. Saya okey sahaja dengan semua pendapat dan melihat ramai juga yang menerima lagu ini dengan baik di kedua-dua negara.
“Orang mahu menerima atau tidak lagu ini, terpulang. Saya serahkan sepenuhnya kepada pendengar.
“Cuma apa yang membimbangkan saya adalah kata-kata kesat daripada segelintir individu. Bagi saya, perkara itu kurang beradab. Itu sahaja yang mengganggu perasaan saya,” jelasnya.
Lagu Jodoh Lebaran yang dinyanyikan dan dicipta oleh Aisha kini terus mencuri perhatian apabila berjaya berada di kedudukan teratas carta di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music dan iTunes.
Sumber: HibGlam