Skip to main content

Advertisement

Berita

Penyampai ERA Turun Padang, Santuni Guru Pendidikan Khas & Bawa Senyuman Buat Adik Ariq

Bukan sekadar menemani pendengar di udara, barisan penyampai ERA kali ini turun sendiri ke lapangan untuk berkongsi sokongan, penghargaan dan kasih sayang menerusi satu inisiatif yang menyentuh hati.

Program bersama Azah Sahrin itu menyaksikan penyampai daripada segmen 3 Pagi ERA (3PE) iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Bella Astillah bersama-sama menyantuni komuniti, selain disertai pasukan Petang ERA yang terdiri daripada Haziq Hussni, Munabella dan Der.

Advertisement

Dalam kunjungan tersebut, pasukan 3PE meluangkan masa di SMK Pendidikan Khas Setapak bagi menghargai pengorbanan guru-guru pendidikan khas yang saban hari mendidik anak-anak istimewa dengan penuh kesabaran dan dedikasi.

Sebagai tanda penghargaan, mereka menghadiahkan tudung dan sarung tangan kepada para guru selain menyediakan jamuan makanan untuk hampir 50 tenaga pengajar di sekolah berkenaan. Inisiatif itu dilihat sebagai simbol penghormatan terhadap usaha golongan pendidik yang sering menjadi tulang belakang kepada pembangunan pelajar berkeperluan khas.

Menurut Azah Sahrin, peluang untuk bertemu pendengar dan komuniti secara bersemuka memberi pengalaman yang lebih bermakna berbanding sekadar berinteraksi di konti radio.

Katanya, momen seperti itu membolehkan penyampai bukan sahaja mendengar cerita pendengar, tetapi memahami sendiri realiti dan cabaran yang mereka lalui.

Dalam masa sama, pasukan Petang ERA turut melakukan kunjungan istimewa ke Seremban bagi menziarahi seorang pendengar cilik, Adik Ariq, yang sedang melalui tempoh pemulihan selepas mengalami kemalangan di rumah.

Difahamkan, Ariq terkena sup panas selepas memanjat meja dapur tanpa menyedari keadaan makanan tersebut. Insiden itu menyebabkan dia mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan termasuk muka, kepala dan tangan sehingga memerlukan rawatan hospital hampir 20 hari.

Sepanjang tempoh rawatan, Ariq turut perlu melalui beberapa prosedur termasuk rawatan tampalan kulit bagi membantu proses pemulihan.

Kehadiran penyampai ERA bukan sekadar membawa hadiah atau hiburan, tetapi menjadi simbol sokongan moral buat Ariq dan keluarganya dalam menghadapi tempoh yang mencabar.

Azah turut mengakui kisah yang dilalui Ariq memberi kesan mendalam kepada mereka semua dan berharap kehadiran pasukan ERA dapat menyuntik semangat serta menunjukkan bahawa masih ramai yang mengambil berat.

Beliau berharap masyarakat terus mengekalkan budaya saling membantu kerana kadangkala perkara kecil mampu memberi makna besar kepada mereka yang sedang berdepan ujian.

Inisiatif ini sekali lagi memperlihatkan komitmen ERA untuk terus mendekati masyarakat serta menyebarkan nilai kasih sayang, empati dan keprihatinan di luar dunia penyiaran.

Sebagai sebahagian daripada Astro Audio, ERA terus mengekalkan kedudukannya sebagai antara stesen radio pilihan rakyat Malaysia dengan membawakan hiburan yang dekat di hati pendengar sambil memperkukuh hubungan bersama komuniti.

ERA Muzik Hit Terkini