Bila dah mula sembang pasal kahwin, laju je idea keluar. Nak majlis tema apa, honeymoon dekat mana, rumah nanti nak deco macam mana. Siap ada shared folder untuk kumpul semua inspirasi!
Dalam banyak-banyak wishlist tu, pernah tak korang selit soalan, “Nanti bila dah tua, macam mana kita nak tampung kehidupan?”
Mungkin rasa jauh lagi, lagi-lagi kalau baru mula kerja atau tengah sibuk kumpul duit untuk kahwin. Tapi bila dah merancang hidup bersama, simpanan persaraan pun boleh mula masuk dalam perbualan.
Dah Serius? Jom Sembang Bab Duit Juga
Nak buka topik kewangan dengan pasangan tu kadang-kadang rasa awkward. Namun, dari situlah korang boleh mula faham komitmen dan kemampuan masing-masing.
Berapa perbelanjaan bulanan? Ada hutang yang masih perlu dibayar? Apa matlamat yang korang nak capai bersama?
Tak perlu selesaikan semuanya dalam satu perbualan. Mulakan dengan berkongsi keadaan masing-masing, kemudian bincang jumlah yang selesa untuk diketepikan selepas mengambil kira keperluan harian dan dana kecemasan.
Bila dua-dua faham situasi sebenar, lebih mudah nak buat perancangan yang sesuai dengan kehidupan korang.
Tapi, Berapa Banyak Simpanan Yang Korang Sebenarnya Perlukan?
Kalau tak tahu nak mula daripada mana, cuba gunakan Kalkulator Matlamat Persaraan KWSP yang ada dalam aplikasi KWSP i-Akaun untuk mendapat gambaran tentang keperluan simpanan korang.
Kalkulator Matlamat Persaraan KWSP ialah alat untuk menganggarkan jumlah simpanan yang diperlukan apabila bersara. Ia membantu untuk menetapkan sasaran simpanan dan merancang caruman supaya lebih bersedia untuk persaraan.
Lepas dah nampak matlamat, barulah lebih mudah nak susun langkah ikut kemampuan sendiri.
Kenali i-Simpan, Satu Lagi Pilihan Untuk Future Korang
Bagi yang nak tambah simpanan persaraan, i-Simpan ialah kemudahan caruman sukarela KWSP yang membolehkan ahli membuat caruman tambahan selain caruman wajib.
Kiranya, kalau korang dah ada potongan KWSP daripada gaji setiap bulan pun, masih boleh buat caruman tambahan melalui i-Simpan mengikut kemampuan.
Kemudahan ini terbuka kepada:
- Warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.
- Ahli KWSP.
- Individu berumur bawah 75 tahun.
Merancang bersama pasangan boleh bermula dengan masing-masing mengambil langkah untuk mengukuhkan simpanan persaraan sendiri.
Tak Perlu Tunggu Ada Duit Banyak Baru Nak Mula
Bila dengar perkataan “persaraan”, mungkin terus terbayang kena sediakan jumlah yang besar sekali gus.
Sebenarnya, korang boleh mulakan dengan caruman kecil yang sesuai dengan keadaan kewangan sendiri dan cuba kekalkan secara konsisten. Bila kemampuan berubah, semak semula perancangan korang.
Melalui i-Simpan, simpanan korang tu boleh dapat dividen tahunan KWSP juga tau! Caruman sukarela ini juga mungkin layak mendapat pelepasan cukai, tertakluk pada syarat dan had yang ditetapkan oleh LHDN.
Yang penting, pilih jumlah yang realistik supaya keperluan hari ini dan perancangan masa depan sama-sama diberi perhatian.
Masukkan Simpanan Persaraan Dalam Plan Berdua
Dah ada impian nak grow old together, jom mula rancang untuk sampai ke fasa tu bersama!
Dengan i-Simpan, korang boleh membuat caruman sukarela untuk diri sendiri atau ahli KWSP yang lain, termasuk pasangan. Jadi, bolehlah sama-sama menambah simpanan persaraan untuk masa depan.
Nak mencarum? Log masuk ke aplikasi KWSP i-Akaun dan tekan “Tambah Simpanan” pada tab Laman Utama atau Simpanan. Pilih “Diri Sendiri” atau “Carum untuk ahli lain”, kemudian ikut arahan yang dipaparkan untuk melengkapkan bayaran melalui FPX. Jangan lupa muat turun resit untuk rekod korang.
Nak tahu lebih lanjut? Layari laman rasmi i-Simpan KWSP atau mula membuat caruman sukarela melalui aplikasi KWSP i-Akaun.