
Foto sekadar hiasan
Seramai 60,000 pelajar tingkatan empat dan lima daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat menerusi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang menawarkan lesen motosikal secara percuma.
Advertisement
Inisiatif melibatkan peruntukan lebih RM18.5 juta itu diperkenalkan bagi membantu golongan pelajar mendapatkan lesen memandu sah selain meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan remaja.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, program berkenaan diwujudkan susulan kebimbangan terhadap ramai pelajar yang masih menunggang motosikal ke sekolah tanpa Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang sah, terutama di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, ada antara pelajar berdepan kesukaran mendapatkan lesen disebabkan kekangan kewangan dan akses terhad ke institut memandu.
“Program ini dilaksanakan susulan keprihatinan kerajaan terhadap isu penunggang motosikal dalam kalangan pelajar yang masih tidak memiliki lesen memandu sah, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, menerusi program itu, kerajaan mahu memastikan golongan muda bukan sahaja memiliki lesen secara sah, malah mempunyai kemahiran menunggang yang betul serta lebih memahami undang-undang jalan raya.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan akses pelesenan yang sah di samping meningkatkan tahap kompetensi, kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan lebih 6,000 kemalangan maut direkodkan setiap tahun dengan sekitar 65 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Katanya, majoriti kes pula melibatkan individu berusia antara 16 hingga 25 tahun termasuk pelajar sekolah.
Untuk rekod, program MyLesen B2 yang mula diperkenalkan pada 2023 sebelum ini telah memanfaatkan lebih 30,000 peserta di seluruh negara.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyambut baik pelaksanaan kerjasama strategik tersebut dalam usaha memudahkan pelajar mendapatkan lesen memandu secara sah.
Sumber: Harian Metro