
Industri hiburan tempatan terus melangkah ke hadapan apabila Astro dan Disney+ mengumumkan kerjasama yang diperluaskan bagi menawarkan pengalaman tontonan lebih menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Inisiatif strategik ini bukan sahaja membawa lebih banyak kandungan antarabangsa ke platform Astro, malah membuka ruang lebih luas untuk karya tempatan Malaysia menembusi khalayak global menerusi Disney+.
Diumumkan di Kuala Lumpur pada 30 Jun 2026, kerjasama antara dua peneraju kandungan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memenuhi perubahan tabiat tontonan pengguna yang kini semakin cenderung kepada pengalaman hiburan merentas platform yang lebih fleksibel dan mudah diakses.
Advertisement
Melalui kerjasama yang diperkukuh ini, pelanggan Astro dan NJOI kini bakal menikmati lebih banyak filem, siri dan kandungan asli Disney+ secara terus melalui Astro TV, Astro GO dan NJOI. Ini bermakna penonton tidak lagi perlu beralih antara platform untuk menikmati pelbagai pilihan hiburan antarabangsa.
Antara kandungan popular yang bakal menjadi tumpuan termasuk filem blockbuster seperti Pirates of the Caribbean, Kingsman: The Secret Service dan The Incredible Hulk, selain filem keluarga seperti Maleficent, Brave dan Monsters University. Penggemar siri pula boleh menikmati judul terkenal seperti Buffy the Vampire Slayer, Scrubs dan New Girl.
Pada masa sama, kerjasama ini turut memberi dimensi baharu kepada industri kandungan tempatan apabila pilihan karya Astro akan dipaparkan di Disney+, sekali gus memperluas capaian cerita Malaysia kepada penonton yang lebih luas.
Antara kandungan tempatan yang bakal ditampilkan termasuk filem dan siri popular seperti Zombi Kampung Pisang, Polis Evo 1 & 2, Ola Bola, Khun:Sa – Che Khun Che Nisa, Takdir Itu Milik Aku, Syurga Itu Bukan Mudah, Travelawak: Projek Bapak Bapak serta animasi kegemaran ramai Didi & Friends. Kehadiran karya-karya ini di platform antarabangsa dilihat sebagai peluang besar untuk memperkenalkan identiti dan kreativiti tempatan kepada pasaran lebih luas.
Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata kerjasama ini sejajar dengan perubahan landskap tontonan serta komitmen syarikat dalam menyediakan pengalaman hiburan yang lebih lancar kepada pelanggan.
Menurut beliau, gabungan kandungan bertaraf dunia daripada Disney+ dan produksi tempatan Astro membolehkan lebih banyak cerita Malaysia diketengahkan dalam ekosistem hiburan global, sekali gus memberi nilai tambah kepada pelanggan.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan bagi Singapura, Malaysia, Taiwan dan Hong Kong, The Walt Disney Company, Mark Chan menegaskan bahawa penceritaan sentiasa menjadi teras kepada Disney dan kerjasama ini membuka peluang kepada penonton Malaysia untuk menikmati kisah menarik dari seluruh dunia di samping menghargai cerita tempatan.
Dari segi langganan, pelanggan Astro kini boleh menambah Disney+ dengan mudah melalui aplikasi atau laman web My Astro bermula serendah RM18.30 sebulan. Menariknya, pelanggan Movies Pack dan Pek Epic Astro One sudah menikmati akses Disney+ tanpa kos tambahan melalui pengaktifan akaun.
Bagi mereka yang mahukan lebih banyak pilihan hiburan, Astro turut menawarkan Pek Blockbuster pada harga RM9.99 sebulan yang merangkumi empat saluran Bahasa Inggeris baharu termasuk Astro Showtime, Astro FAM Time, Rock Action dan Rock X Stream.
Dengan perkembangan ini, Astro dan Disney+ bukan sekadar memperluas akses hiburan, malah mencipta ruang baharu untuk kandungan Malaysia berdiri sebaris dengan jenama hiburan global malah memberikan penonton lebih banyak pilihan, lebih banyak cerita dan pengalaman tontonan yang semakin tanpa sempadan.