
Bukan sekadar mencabar keberanian, stesen radio ERA berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records menerusi siaran radio yang dikendalikan serta dirakam ketika melakukan terjunan bebas pada altitud 13,000 kaki.
Pencapaian luar biasa itu direalisasikan menerusi cabaran khas Dari Udara Ke Udara dengan sokongan MBSB Bank sebagai penaja utama, sekali gus mengangkat industri penyiaran radio tempatan ke satu tahap baharu.
Advertisement
Menerusi cabaran yang berlangsung di Dropzone Thailand, Rayong, penyampai 3 Pagi ERA, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin, berjaya mengendalikan sesi bual bicara sambil melakukan terjunan bebas secara tandem dari ketinggian 13,000 kaki.
Kejayaan tersebut melayakkan ERA menerima pengiktirafan dalam kategori First and Highest Altitude Radio Breakfast Show Talk Sets Hosted and Recorded in Freefall, iaitu sesi bual bicara program pagi radio pertama dan pada altitud tertinggi yang dikendalikan serta dirakam ketika terjunan bebas.
Sebanyak tiga terjunan tandem dilaksanakan sepanjang cabaran berkenaan. Nabil melengkapkan dua terjunan, termasuk satu terjunan tambahan bagi menggantikan Radin yang tidak dapat menyertai cabaran kerana sedang menunaikan ibadah umrah, manakala Azad melengkapkan satu terjunan.

Lebih menarik, rakaman audio dilakukan secara berterusan bermula dari proses pesawat berlepas, pendakian ke altitud penerjunan, pengalaman terjunan bebas, penerbangan menggunakan payung terjun sehinggalah pendaratan selamat.
Keseluruhan pengalaman tersebut kemudiannya disiarkan menerusi siaran khas 3 Pagi ERA selama dua jam, dari jam 4 petang hingga 6 petang pada hari yang sama, membolehkan pendengar mengikuti pengalaman luar biasa itu secara eksklusif.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, kejayaan berkenaan membuktikan keberanian dan kreativiti ERA dalam menghasilkan pengalaman penyiaran yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
VIDEO: INSTAGRAM SYOK
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan strategik MBSB Bank memainkan peranan penting dalam merealisasikan idea yang mencabar kebiasaan industri radio.
Katanya, pencapaian itu menjadi lebih bermakna apabila pasukan ERA berjaya menyempurnakan cabaran berkenaan meskipun berdepan perubahan perancangan pada saat akhir.
Pada awalnya, percubaan dijadualkan berlangsung pada 18 November 2026 di Drop Zone Skydive Terengganu, Marang. Bagaimanapun, masalah teknikal yang menyebabkan pesawat tidak dapat beroperasi memaksa pasukan mengambil keputusan pantas untuk memindahkan lokasi cabaran ke Rayong, Thailand dalam tempoh kurang 48 jam.
Azah turut memuji keberanian Nabil dan Azad yang sanggup keluar daripada zon selesa demi menjayakan misi bersejarah itu, selain menekankan kepentingan latihan, ketahanan mental, disiplin dan keyakinan sepanjang pelaksanaan cabaran.

Sementara itu, semakan perbandingan oleh ASEAN Records dan ASIA Records sebelum percubaan berlangsung mendapati tiada rekod terdahulu di negara ASEAN mahupun pasaran utama Asia bagi sesi bual bicara program pagi radio yang dikendalikan dan dirakam ketika terjunan bebas.
Justeru, kejayaan ERA menerusi tiga terjunan tandem dari altitud 13,000 kaki itu menjadi penanda aras rasmi bagi kategori berkenaan.
Azah turut merakamkan penghargaan kepada MBSB Bank, pasukan produksi, kru teknikal, jurulatih penerjunan profesional, rakan kerjasama strategik serta seluruh warga kerja ERA dan Astro Audio yang bertungkus-lumus memastikan cabaran tersebut berjalan lancar dan selamat.
Beliau turut mendedikasikan kejayaan itu kepada seluruh pendengar setia ERA yang sentiasa menjadi sumber inspirasi buat stesen radio berkenaan untuk terus menghasilkan kandungan segar, kreatif dan menghiburkan.
Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan kemampuan ERA mencipta pengalaman penyiaran di luar kebiasaan, malah memperlihatkan bagaimana gabungan kreativiti, keberanian dan sokongan strategik MBSB Bank mampu menghasilkan kejayaan bertaraf antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada ASEAN dan Asia.
Video: Instagram SYOK