Skip to main content

Advertisement

Berita

Dua Pemimpin Astro Audio Terajui Kepimpinan Commercial Radio Malaysia Bagi Penggal 2026-2028

Astro Audio terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri penyiaran radio negara apabila dua wakilnya diberi kepercayaan untuk memegang jawatan penting dalam Commercial Radio Malaysia (CRM) bagi penggal 2026-2028.

Ketua Strategi Astro Audio, Rizal Sahimy, dilantik sebagai Setiausaha Kehormat, manakala Ketua Integrasi & Operasi Radio Astro Audio, Chew Yan Ling, pula memegang jawatan Bendahari Kehormat. Pelantikan tersebut diumumkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-29 CRM, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan industri terhadap kepakaran, pengalaman serta komitmen Astro Audio dalam memajukan ekosistem radio komersial Malaysia.

Advertisement

Sebagai Setiausaha Kehormat, Rizal Sahimy akan memainkan peranan penting dalam memastikan tadbir urus persatuan berjalan dengan baik, selain menyelaras pentadbiran dan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik CRM.

Menurut beliau, radio masih kekal sebagai medium yang dipercayai dalam menyampaikan maklumat berkualiti kepada masyarakat serta menjadi platform penting dalam menyokong pembangunan ekonomi negara.

"Objektif utama kami adalah memastikan radio Malaysia terus memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan inisiatif kerajaan di samping menghasilkan kandungan yang berkualiti. Radio kekal sebagai jambatan penting yang memperkasakan perniagaan, menghubungkan pengguna dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.

Sementara itu, Chew Yan Ling yang dilantik sebagai Bendahari Kehormat akan mengetuai aspek pengurusan kewangan dan tadbir urus CRM bagi memastikan organisasi itu terus berkembang secara mampan.

Beliau berkata setiap keputusan kewangan perlu memberi nilai kepada pembangunan industri dan berjanji untuk menguruskan amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab.

"Setiap angka mempunyai cerita tersendiri. Sebagai Bendahari CRM yang baharu, saya komited memastikan setiap ringgit dimanfaatkan sebaiknya demi pertumbuhan industri. Walaupun peranan ini baharu, matlamat saya tetap sama iaitu menyokong CRM melalui pengurusan yang bertanggungjawab serta semangat kerjasama yang kukuh," ujarnya.

Astro Audio menyifatkan pelantikan kedua-dua pemimpin itu sebagai satu pengiktirafan terhadap keupayaan warga kerjanya, selain membuktikan komitmen syarikat dalam membantu membentuk masa depan industri radio Malaysia yang lebih progresif, mampan dan relevan dalam era digital.

Dalam kenyataannya, Astro Audio turut melahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan kepada Rizal Sahimy dan Chew Yan Ling untuk memegang jawatan kepimpinan dalam CRM.

"Pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf keupayaan mereka sebagai pemimpin industri, malah mencerminkan peranan aktif Astro Audio dalam memacu masa depan penyiaran radio Malaysia," menurut kenyataan itu.

Commercial Radio Malaysia (CRM) merupakan persatuan utama yang mewakili operator radio komersial di Malaysia. Sejak ditubuhkan pada tahun 1994, CRM memainkan peranan penting dalam menyelaras pematuhan peraturan industri, memperkukuh penglibatan pendengar, membangunkan bakat baharu serta menyediakan penyelidikan dan penarafan industri bagi menyokong pertumbuhan sektor penyiaran negara.

Sebagai rangkaian radio terbesar di Malaysia, Astro Audio memiliki portfolio jenama terkenal termasuk ERA, HITZ, SINAR, MIX, MELODY, GOXUAN, RAAGA, ZAYAN dan LITE. Melalui kandungan yang relevan, inovatif dan berimpak tinggi merentasi pelbagai platform, Astro Audio terus menerajui landskap audio negara serta memenuhi keperluan jutaan pendengar di seluruh Malaysia.

ERA Muzik Hit Terkini