Skip to main content

Advertisement

Berita

ERA Eratkan Silaturahim, 30 Pendengar Bertuah Rai Aidilfitri Bersama Bella Astillah

Dalam semangat Aidilfitri yang penuh kemeriahan, stesen radio nombor satu negara, ERA, sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mendekati pendengar menerusi penganjuran acara eksklusif ‘Bae Raya Bersama Bella’. Program istimewa ini meraikan 30 pendengar terpilih dalam suasana lebaran yang mesra, ceria dan penuh kehangatan.

Dianjurkan menerusi segmen popular 3 Pagi ERA, acara ini menampilkan personaliti kesayangan ramai, Bella Astillah, yang meluangkan masa bersama pendengar dalam suasana lebih santai dan peribadi. Kehadiran Bella bukan sahaja menceriakan acara, malah memperkukuh hubungan antara penyampai dan komuniti pendengar setia ERA.

Advertisement

Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, penganjuran acara seumpama ini mencerminkan aspirasi ERA untuk menjadi lebih daripada sekadar platform hiburan di udara.

“Hubungan dengan pendengar adalah keutamaan kami. ‘Bae Raya Bersama Bella’ memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman beraya bersama personaliti ERA dalam suasana eksklusif yang sarat dengan nilai kekeluargaan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, pemilihan Bella Astillah sebagai wajah acara adalah bertepatan dengan personalitinya yang mesra dan dekat di hati peminat, khususnya pendengar 3 Pagi ERA. Kehadirannya berjaya mewujudkan suasana akrab yang selari dengan semangat Aidilfitri yang penuh kebersamaan dan penghargaan.

Sepanjang acara berlangsung, pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi menghidupkan suasana, termasuk Pertandingan Pakaian Paling Bergaya, sesi catwalk dan permainan santai yang mencetuskan gelak tawa. Para peserta turut membawa pulang hadiah eksklusif ERA, manakala pemenang pertandingan fesyen menerima wang tunai RM100.

Lebih istimewa, para pendengar berpeluang merakam kenangan manis menerusi sesi fotografi eksklusif bersama Bella Astillah dan barisan penyampai 3 Pagi ERA. Momen ini menjadi antara detik paling berharga yang sukar dilupakan oleh para peserta.

Salah satu tarikan utama acara ini adalah sentuhan peribadi Bella sendiri yang menyediakan hidangan khas Aidilfitri untuk para tetamu. Elemen ini menambahkan lagi nilai keikhlasan dan kehangatan, menjadikan acara tersebut bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah pengalaman lebaran yang asli dan bermakna.

Sebelum acara berlangsung, ERA turut menganjurkan peraduan slogan “Kenapa Nak Beraya Dengan Bella” selama seminggu, yang menerima penyertaan memberangsangkan dari seluruh negara. Pemenang peraduan ini dipilih sebagai peserta acara eksklusif tersebut.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menunjukkan sokongan padu pendengar terhadap inisiatif kami. Kami akan terus memperkenalkan lebih banyak aktiviti yang mendekatkan ERA dengan komuniti,” tambah Azah.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian Astro Audio, ERA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama “Muzik Hit Terkini” dengan hampir 6 juta pengikut di media sosial. Selain siaran radio, pendengar juga boleh mengikuti ERA melalui platform digital serta aplikasi rasmi yang tersedia di App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

ERA Muzik Hit Terkini