Skip to main content

Advertisement

Berita

FIFA : Astro Terus Runding Hak Siaran Piala Dunia 2026

Foto sekadar hiasan

Astro Malaysia memaklumkan pihaknya masih meneruskan usaha mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 bagi membolehkan kejohanan itu ditayangkan kepada penonton di Malaysia menerusi platform mereka.

Advertisement

Rundingan kini sedang dijalankan bersama pemegang hak siaran supaya aksi Piala Dunia dapat dibawakan melalui Astro, NJOI serta Sooka.

“Astro kini dalam usaha memperkukuh kandungan sukan dengan mempergiat rundingan bagi mendapatkan hak siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 merangkumi pelbagai platform termasuk NJOI dan Sooka,” menurut kenyataan syarikat itu.

Astro berkata langkah tersebut dilakukan bagi memastikan lebih ramai peminat bola sepak tempatan dapat mengikuti kejohanan berprestij itu menerusi televisyen, premis perniagaan dan peranti mudah alih.

Kenyataan berkenaan hadir selepas bidaan dibuat Astro untuk mendapatkan hak siaran rasmi Piala Dunia tidak berjaya.

Astro yang pernah menjadi penyiar utama Piala Dunia selama lebih 20 tahun turut mengakui industri penyiaran sukan kini semakin mencabar berikutan peningkatan kos hak siaran antarabangsa.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, landskap kandungan premium terutama sukan telah berubah dengan ketara,” jelas syarikat itu.


Foto: FIFA

Menurut Astro, kenaikan kos operasi, inflasi dan harga hak penyiaran global memerlukan pelaburan kewangan yang semakin besar.

Dalam masa sama, isu cetak rompak digital juga dikatakan memberi kesan besar terhadap nilai komersial kandungan sukan.

“Piala Dunia 2018 dan 2022 merupakan acara yang paling banyak dicetak rompak di Malaysia,” katanya lagi.

Malah Astro turut menjelaskan faktor waktu perlawanan serta tempoh pemasaran yang singkat menjadikan nilai komersial kejohanan itu lebih sukar untuk dipertahankan.

Walaupun kecewa bidaan mereka tidak diterima, syarikat itu tetap positif terhadap peluang rakyat Malaysia untuk terus menyaksikan kejohanan berkenaan.

“Walaupun kami kecewa kerana bidaan untuk Piala Dunia FIFA tidak diterima, kami tetap gembira kerana Piala Dunia FIFA akan terus dapat diakses oleh peminat di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Selain Piala Dunia, Astro menegaskan mereka masih komited membawa kandungan sukan antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris, Liga Juara Juara UEFA, Formula 1, MotoGP dan Wimbledon.

Dalam masa sama, Astro turut memperkukuh sokongan terhadap pembangunan sukan tempatan menerusi liputan Piala Malaysia, BWF Malaysia Masters dan SUKMA Selangor selain program pembangunan bakat muda dalam beberapa sukan negara.

Sumber: Gempak

ERA Muzik Hit Terkini