
Dunia tinju dikejutkan dengan berita pemergian bekas petinju Puerto Rico, Prichard Colón, yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 33 tahun selepas mengharungi hampir sedekad dalam keadaan koma akibat kecederaan otak parah yang dialaminya ketika bertarung.
Kematian Colón pada 13 Ogos 2026 menutup satu kisah tragis yang selama ini dianggap antara insiden paling menyayat hati dalam sejarah tinju moden.
Advertisement
Segalanya bermula pada Oktober 2015, ketika Colón yang ketika itu baru berusia 23 tahun memasuki gelanggang sebagai antara prospek muda paling menjanjikan. Dia berdepan Terrel Williams dalam pertarungan yang sepatutnya menjadi satu lagi langkah untuk kehadapan dalam perjalanan kariernya.
Namun, malam itu mengubah seluruh hidupnya.
Dakwa Terkena ‘Rabbit Punch’, Aduannya Tidak Dihiraukan
Sepanjang pertarungan, Colón dilaporkan menerima beberapa pukulan di bahagian belakang kepala atau dikenali sebagai ‘rabbit punch’, iaitu pukulan yang dianggap berbahaya dan dilarang dalam sukan tinju.
Colón beberapa kali mengadu kepada pengadil mengenai pukulan tersebut, namun menurut laporan insiden berkenaan, aduannya tidak membawa kepada tindakan tegas terhadap lawannya.
Keadaan bertambah buruk pada pusingan kesembilan apabila Colón dijatuhkan dua kali. Pasukannya pula dipercayai tersilap menyangka pertarungan 10 pusingan itu telah berakhir sebelum menanggalkan sarung tangannya.

Tidak lama kemudian, keadaan kesihatan petinju muda itu mula merosot dengan pantas.
Colón rebah di bilik persalinan, muntah sebelum dikejarkan untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Pemeriksaan perubatan kemudian mendapati dia mengalami subdural hematoma, iaitu pendarahan serius di antara permukaan otak dan lapisan pelindungnya.
Kecederaan itu menyebabkan kariernya berakhir dalam sekelip mata.
Sebelum tragedi tersebut, Prichard Colón merupakan antara nama muda yang mendapat perhatian dalam dunia tinju.
Dia mencatatkan rekod 16 kemenangan tanpa kalah, dengan 13 kemenangan menerusi KO. Masa depan yang cerah seolah-olah menantinya.
Namun, satu pertarungan menjadi titik perubahan yang tidak pernah dapat dipulihkan.
Selepas menjalani rawatan dan pembedahan kecemasan, Colón berada dalam keadaan koma untuk tempoh yang panjang sebelum terus memerlukan penjagaan rapi selama bertahun-tahun.

Dalam tempoh itu, ibunya, Nieves Colón, menjadi individu yang menjaga dan menguruskan keperluan anaknya hampir sepanjang masa.
WBC Perkenalkan ‘Prichard Colón Rule’
Tragedi yang menimpa Colón turut memberi kesan besar kepada dunia tinju.
Majlis Tinju Dunia atau WBC kemudiannya memperkenalkan langkah yang dikenali sebagai Prichard Colón Rule, dengan penekanan lebih tegas terhadap pukulan berbahaya di bahagian belakang kepala.
Colón juga diberikan penghormatan sebagai juara kehormat oleh organisasi tersebut.
Bagaimanapun, bagi keluarganya, penghormatan itu tidak mampu mengembalikan kehidupan yang telah diragut oleh kecederaan tersebut.
Keluarganya turut memfailkan saman bernilai AS$50 juta terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pengendalian pertarungan itu, termasuk berkaitan aspek keselamatan dan rawatan di sisi gelanggang.
Satu Peringatan Pahit Tentang Risiko Sebenar Dalam Tinju
Pemergian Prichard Colón tepat sedekad selepas tragedi yang mengubah hidupnya meninggalkan kesan mendalam kepada peminat sukan tempur di seluruh dunia.