Skip to main content

Advertisement

Berita

KM ERA Tarik Hampir 1,200 Peserta, Bukti Semangat Komuniti dan Sokongan Luar Biasa Pendengar

ERA sekali lagi membuktikan kekuatan komuniti pendengarnya apabila penganjuran KM ERA berjaya menghimpunkan hampir 1,200 peserta dalam acara larian malam sejauh lima kilometer yang berlangsung meriah di Dataran Putrajaya.

Bermula seawal jam 8.30 malam, program yang dianjurkan secara terbuka dan sukarela itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara ERA dan komuniti pendengarnya menerusi pengalaman yang unik serta interaktif.

Advertisement

Walaupun berlangsung pada hari bekerja, sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Kehadiran hampir 1,200 peserta daripada pelbagai lapisan umur membuktikan semangat tinggi rakyat Malaysia untuk menyertai aktiviti komuniti yang kreatif, menyeronokkan dan memberi nilai positif.

Lebih istimewa, KM ERA mendapat kerjasama daripada komuniti Geng Lukis Malam, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan keseluruhan acara. Kolaborasi ini berjaya menghimpunkan pencinta aktiviti luar dan seni kreatif, sekali gus mencetuskan suasana yang lebih meriah sepanjang program berlangsung.

Kerjasama tersebut turut menerima pelbagai maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan KM ERA sebagai satu acara komuniti yang segar, berbeza dan penuh kelainan.

Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, sambutan luar biasa yang diterima jauh melebihi jangkaan pihak penganjur.

"Kami amat teruja dan bersyukur melihat hampir 1,200 peserta hadir untuk menyertai KM ERA. Sejujurnya, kami tidak menyangka acara yang berlangsung pada hari bekerja dan bermula pada waktu malam ini mampu menarik penyertaan yang begitu ramai. Sambutan luar biasa ini membuktikan komuniti ERA sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap setiap aktiviti yang kami anjurkan," katanya.

Laluan Istimewa Bentuk Perkataan 'ERA'

Apa yang membezakan KM ERA daripada acara larian lain ialah konsep laluan yang direka khas bagi memberikan pengalaman lebih bermakna kepada setiap peserta.

Para pelari perlu mengikuti laluan yang telah ditetapkan dan melengkapkan keseluruhan trek. Apabila rekod larian dimuat naik ke aplikasi Strava, laluan tersebut akan membentuk perkataan 'ERA', sekali gus mencipta kenangan unik yang boleh dikongsi di media sosial.

Menurut Azah, idea tersebut berjaya mencetuskan keterujaan dalam kalangan peserta.

"Salah satu matlamat utama kami adalah untuk memberikan pengalaman yang berbeza kepada para peserta. Laluan khas yang direka sehingga membentuk perkataan 'ERA' dalam aplikasi Strava ternyata berjaya mencetuskan keterujaan dan memberikan cabaran yang menyeronokkan sepanjang larian berlangsung. Kami gembira melihat ramai peserta berkongsi pencapaian mereka di media sosial dan menikmati pengalaman tersebut bersama-sama," ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Geng Lukis Malam atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang penganjuran acara.

"Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Geng Lukis Malam atas sokongan dan kerjasama yang diberikan. Kolaborasi ini membuktikan bahawa apabila komuniti berganding bahu, kita mampu mencipta pengalaman yang lebih bermakna dan memberi impak positif kepada masyarakat."

Sepanjang program berlangsung, pelbagai maklum balas positif diterima daripada peserta yang melihat KM ERA sebagai platform yang berjaya menggabungkan elemen kecergasan, kreativiti dan semangat komuniti dalam satu acara.

Azah turut mengucapkan penghargaan kepada semua peserta, sukarelawan serta rakan kerjasama yang memainkan peranan penting dalam memastikan program itu berlangsung dengan lancar.

"Bagi pihak ERA, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelari yang sudi meluangkan masa untuk menyertai dan menjayakan KM ERA. Sokongan yang diberikan amat bermakna buat kami dan menjadi motivasi untuk terus menganjurkan lebih banyak aktiviti yang mendekatkan ERA dengan komuniti pada masa hadapan," katanya.

Kejayaan penganjuran KM ERA sekali lagi mengukuhkan komitmen ERA dalam mencipta pengalaman yang dekat di hati rakyat Malaysia menerusi pelbagai aktiviti komuniti yang menyeronokkan, kreatif dan memberi impak positif.

Sebagai stesen radio berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia di bawah rangkaian Astro Audio, ERA terus menjadi pilihan pendengar menerusi sajian muzik hit terkini dan kandungan yang dekat dengan masyarakat. Dengan hampir enam juta pengikut di media sosial, ERA terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama 'Muzik Hit Terkini', selain boleh diikuti menerusi platform digital serta aplikasi rasmi ERA.

ERA Muzik Hit Terkini