
Foto: Facebook Tennoji Zoo
Isu pemindahan tiga ekor gajah dari Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.
Advertisement
Terbaharu, satu petisyen dilancarkan di platform Care2 bagi menuntut agar ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang. Sehingga kini, petisyen berkenaan telah meraih lebih 106,000 tandatangan, menghampiri sasaran 110,000 sokongan awam.
Menurut kandungan petisyen itu, kesemua gajah berkenaan sebelum ini ditempatkan di Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, sebuah pusat yang terkenal dengan usaha menyelamat dan memulihkan gajah di Malaysia.
“Ramai rakyat Malaysia amat sedih kerana gajah dari pusat pemuliharaan kini telah dihantar ke luar negara untuk tinggal di persekitaran zoo,” menurut kenyataan dalam petisyen tersebut.
Petisyen itu turut menegaskan bahawa gajah merupakan haiwan yang sangat bijak dan mempunyai emosi serta keperluan sosial yang kompleks, sekali gus memerlukan habitat luas serta persekitaran semula jadi yang sesuai.

Foto: Facebook Tennoji Zoo
“Di seluruh dunia, pakar kebajikan haiwan telah berulang kali membangkitkan kebimbangan serius tentang pemeliharaan gajah di zoo bandar disebabkan oleh penderitaan fizikal dan psikologi,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, penyokong hidupan liar melahirkan kebimbangan bahawa Dara, Amoi dan Kelat mungkin akan menghabiskan sisa hidup dalam kurungan sekiranya terus ditempatkan di zoo luar negara, tanpa persekitaran yang menyokong tingkah laku semula jadi mereka.
Kebimbangan tersebut turut dikaitkan dengan kes lampau melibatkan gajah bernama Hanako yang pernah menjadi perhatian aktivis kebajikan haiwan di Jepun.
Selain itu, petisyen berkenaan turut merujuk kepada usaha oleh aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan di Jepun yang sebelum ini menggesa agar pameran gajah di Zoo Tennoji dihentikan susulan isu berkaitan kebajikan haiwan.
Beberapa kes terdahulu juga dijadikan rujukan, termasuk pemindahan gajah Malaysia seperti Cik Ubi ke Zoo Bandar Kyoto dan Billy ke Zoo Los Angeles yang menimbulkan persoalan tentang kebajikan haiwan selepas dipindahkan ke luar negara.

Foto: Facebook Tennoji Zoo
“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kebajikan Dara, Amoi dan Kelat benar-benar dapat dijamin dalam persekitaran zoo di luar negara,” menurut petisyen itu.
Sehubungan itu, petisyen tersebut menggesa kerajaan Malaysia dan Jepun serta pihak pengurusan Zoo Tennoji untuk menilai semula keputusan berkenaan dengan mengutamakan kesejahteraan jangka panjang haiwan terbabit.
“Kami menyeru masyarakat global untuk bersama kami, menyokong petisyen ini, dan menggesa pihak berkuasa untuk mengembalikan Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia,” katanya lagi.

Foto: Facebook Tennoji Zoo
Selain itu, petisyen berkenaan turut mendesak agar sebarang program pemindahan hidupan liar ke luar negara, khususnya melibatkan haiwan dari pusat pemuliharaan, dikaji semula atau dihentikan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching menjelaskan bahawa ketiga-tiga gajah tersebut masih merupakan milik Zoo Taiping & Night Safari dan tidak melibatkan sebarang jual beli.
“Ia sebahagian kerjasama rasmi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo Osaka di bawah konsep sister zoo, yang memfokuskan kepada pemuliharaan, perkongsian kepakaran dan peningkatan standard penjagaan haiwan,” katanya.
Sumber: Care 2 Petitions