
Kisah penuh inspirasi dua beradik kelainan upaya dari Temerloh, Pahang yang tular di media sosial kerana kegigihan mengusahakan perniagaan Cendol Leleh terus mencuri perhatian ramai apabila mereka dijemput sebagai tetamu khas dalam segmen 3 Pagi ERA bersama Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin.
Perkongsian mereka bukan sekadar membuka ruang untuk menceritakan perjalanan hidup yang penuh cabaran, malah menjadi suntikan semangat kepada pendengar apabila membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk terus bangkit, berdikari dan mencari rezeki yang halal.
Advertisement
Nik Haznita dan adiknya, Nik Haziera, kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua tahun lalu. Namun, tragedi yang mengubah kehidupan mereka itu tidak mematahkan semangat untuk meneruskan kehidupan, sebaliknya menjadi titik permulaan bagi membina masa depan yang lebih baik melalui perniagaan Cendol Leleh.
Kisah ketabahan mereka turut mendapat sokongan daripada penyanyi Amir Masdi yang menginfaq pembelian sebanyak 300 cawan Cendol Leleh. ERA turut menyumbang dengan membeli 300 cawan lagi, menjadikan keseluruhan sebanyak 600 cawan sebagai tanda sokongan terhadap usaha gigih dua beradik tersebut untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Penyampai 3 Pagi ERA, Nabil Ahmad, berkata beliau amat tersentuh dengan semangat luar biasa yang dipamerkan oleh Nik Haznita dan Nik Haziera dalam menghadapi ujian hidup.

"Saya sangat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Nik Haznita dan adiknya. Walaupun berdepan dugaan yang sangat besar, mereka tidak pernah menjadikan keadaan yang dialami sebagai alasan untuk berhenti berusaha. Sebaliknya, mereka memilih untuk bangkit, berniaga dan mencari rezeki secara halal.
"Apa yang lebih mengagumkan, mereka sentiasa positif dan terus memandang ke hadapan. Bagi saya, inilah contoh sebenar tentang kekuatan mental dan ketabahan yang patut dicontohi oleh masyarakat. Kita selalu bercakap tentang motivasi, tetapi mereka membuktikannya melalui tindakan.
"Saya berharap kisah mereka dapat membuka mata ramai orang, khususnya golongan muda, bahawa setiap orang pasti akan melalui ujian dalam hidup. Namun, apa yang membezakan kita adalah bagaimana kita memilih untuk menghadapi ujian tersebut. Jangan cepat mengalah, sebaliknya terus berusaha dan mencari peluang untuk memperbaiki kehidupan," katanya.
Menurut Nabil lagi, ketabahan yang ditunjukkan oleh kedua-dua beradik itu membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya hadir dalam keadaan yang sempurna. Sebaliknya, ia lahir daripada kesungguhan, disiplin dan keberanian untuk terus bangkit setiap kali berdepan cabaran.
Lebih membanggakan, Nik Haziera bukan sahaja aktif membantu mengusahakan perniagaan keluarga, malah sedang giat menjalani latihan sebagai atlet yang mewakili negeri Pahang dalam sukan Paralimpik menerusi acara lawan pedang berkerusi roda (wheelchair fencing). Pencapaian itu menjadi bukti bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mengejar impian dan mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

Menerusi perkongsian istimewa ini, 3 Pagi ERA berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan terus menyokong usahawan kecil tempatan, di samping memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka.
Kisah Nik Haznita dan Nik Haziera membuktikan bahawa dengan keazaman yang tinggi, usaha yang berterusan serta sokongan masyarakat, setiap individu mampu mencipta peluang baharu untuk diri sendiri dan menjadi inspirasi kepada orang lain. Perjuangan mereka bukan sekadar tentang menjual semangkuk cendol, tetapi tentang membuktikan bahawa harapan sentiasa wujud bagi mereka yang tidak pernah berhenti berusaha.