
Foto sekadar hiasan
Di Kelantan dan beberapa negeri lain yang terkenal dengan hidangan berasaskan mi seperti mi celup, isu kenaikan harga bahan asas makanan ini mungkin akan memberi kesan kepada peniaga dan pengguna dalam masa terdekat.
Advertisement
Ini berikutan jangkaan bahawa harga mi kuning dan kuetiau di seluruh negara akan meningkat susulan peningkatan kos pengeluaran yang semakin ketara, termasuk faktor gangguan rantaian bekalan global.
Presiden Persatuan Pedagang Bakeri, Biskut, Gula-Gula, Mi dan Kuey Teow Malaysia, Chaang Tuck Cheong berkata, antara faktor utama yang mendorong kenaikan ini ialah peningkatan mendadak kos bahan pembungkusan plastik sejak konflik di Iran berlaku.
Menurut beliau, kenaikan itu mencecah hampir 30 peratus dalam tempoh lebih sebulan, sekali gus memberi tekanan kepada pengeluar makanan.

Foto: Facebook
Beliau turut menjelaskan bahawa bahan plastik jenis Polyethylene terephthalate (PET) yang digunakan dalam pembungkusan makanan berkait rapat dengan industri minyak mentah, menyebabkan sebarang ketidaktentuan global memberi kesan terus kepada harga.
“Dahulu, kami boleh mendapatkan bekalan pembungkusan dalam tempoh tiga minggu selepas pembelian dibuat, tetapi kini sesetengah pengilang mi terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam minggu,” katanya.
Tambah beliau lagi, keadaan menjadi lebih mencabar apabila sesetengah pembekal memendekkan tempoh bayaran daripada dua bulan kepada hanya satu bulan, sekali gus menjejaskan aliran tunai pengusaha.
Dalam masa sama, kenaikan harga diesel turut menambah beban kos operasi. Menurut Chaang, bahan api tersebut menyumbang hampir satu pertiga daripada keseluruhan kos pengeluaran termasuk pembuatan, logistik dan penghantaran.
“Beberapa premis tradisional berskala kecil yang masih menggunakan kayu api untuk menghasilkan mi mungkin tidak menaikkan harga bagi mengekalkan daya saing mereka. Namun, syarikat besar yang bergantung kepada diesel untuk pengeluaran tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga,” jelasnya.

Foto: Foodpanda
Untuk negeri seperti Kelantan yang popular dengan hidangan mi celup, situasi ini mungkin memberi kesan kepada harga jualan makanan di pasaran jika kenaikan kos ini benar-benar berlaku secara menyeluruh.
Secara ringkasnya, peniaga dan pengguna dijangka perlu bersedia menghadapi kemungkinan pelarasan harga, berikutan gabungan faktor konflik global, kos bahan pembungkusan dan peningkatan kos bahan api yang terus menekan industri pengeluaran mi di Malaysia
Sumber: VOCKET