
Gambar: Tiktok (sfeashraa)
Pempengaruh fesyen dan kecantikan tempatan, Sofea Shra sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil memperagakan keindahan budaya Malaysia di pentas antarabangsa menerusi momen istimewa bersama pengasas jenama kosmetik terkenal dunia, Huda Beauty iaitu Huda Kattan.
Advertisement
Menerusi perkongsian yang tular di media sosial, Sofea dilihat membantu menggayakan Huda Kattan dengan busana tradisional kebaya Malaysia yang elegan dan penuh sentuhan warisan. Penampilan Huda dalam kebaya tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang bangga melihat busana tradisional tempatan diperkenalkan kepada figura antarabangsa berpengaruh.
Lebih mencuri perhatian apabila Huda sendiri mengagumi penampilan wanita Malaysia dan memuji keanggunan mereka. Dalam video tersebut, Huda berkata,
“I always see videos of Malaysian women and they so elegant and look royal.”
Kata-kata itu membuatkan ramai rakyat Malaysia tersentuh dan bangga apabila kecantikan serta kelembutan wanita tempatan mendapat perhatian ikon kecantikan dunia.
Kebaya yang digayakan itu bukan sahaja menyerlahkan keanggunan feminin, malah memperlihatkan kehalusan seni dan identiti budaya Malaysia yang kaya dengan nilai estetika. Sofea turut dilihat memberi penerangan mengenai cara pemakaian kebaya serta keistimewaan busana tradisional itu kepada Huda, menjadikan momen tersebut lebih bermakna.

Gambar: Instagram (Huda)
Apa yang lebih menarik perhatian ramai, Huda Kattan sememangnya dikenali sebagai antara figura antarabangsa yang lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin. Usahawan kecantikan berdarah Iraq-Amerika itu kerap menggunakan platform media sosialnya untuk berkongsi isu kemanusiaan di Gaza serta menyeru bantuan dan kesedaran global terhadap rakyat Palestin.
Disebabkan itu, ramai netizen Malaysia meluahkan rasa teruja melihat gabungan dua figura wanita berpengaruh ini iaitu Sofea yang membawa identiti budaya Malaysia dan Huda yang dikenali dengan pendirian kemanusiaannya. Rata-rata menyifatkan momen tersebut sebagai simbol keindahan budaya, solidariti dan pengaruh positif wanita di peringkat antarabangsa.
Perkongsian tersebut juga dianggap sebagai satu bentuk promosi budaya yang moden dan relevan apabila elemen tradisional digabungkan dengan dunia fesyen serta kecantikan global. Dengan pengaruh besar dimiliki Huda Kattan dalam industri kecantikan dunia, penampilan beliau dalam kebaya Malaysia dilihat mampu membuka lebih banyak perhatian terhadap fesyen tradisional tempatan di mata antarabangsa.
Sumber: Tiktok (sfeashraa)