
Menghangatkan penghujung tahun dengan hiburan tanpa henti, Astro bakal membawakan dua konsert mega pada Disember ini menerusi Konsert Sooka pada 5 Disember dan Konsert Vaganza pada 6 Disember 2026.
Kedua-dua konsert yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam di Idea Live Arena, 3 Damansara, Kuala Lumpur itu bakal menghimpunkan barisan artis popular daripada pelbagai genre muzik dalam dua malam penuh hiburan dan pengalaman muzik yang berbeza.
Advertisement
Lebih menarik, tiket bagi kedua-dua konsert kini sudah mula dijual menerusi platform Ticketmelon, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk merancang pengalaman hiburan mereka lebih awal.
Menerusi Konsert Sooka, peminat bakal disajikan dengan persembahan daripada lima kumpulan popular iaitu Kudrat Boys, The Lantis, Insomniacks, Bunkface dan Kugiran Masdo.
Gabungan barisan artis berkenaan pastinya menjanjikan malam yang sarat dengan persembahan bertenaga, lagu-lagu popular serta suasana konsert yang mengajak penonton menyanyi bersama-sama.
Bagi menyaksikan Konsert Sooka, peminat boleh memilih daripada enam kategori tiket yang ditawarkan iaitu DISTORT (RM128), ATTACK (RM188), MOSH (RM208), GIG (RM258), SOLO (RM288) dan RIFF (RM388), merangkumi pilihan tempat duduk serta ruang berdiri mengikut kategori masing-masing.
Sementara itu, Konsert Vaganza pula bakal menampilkan barisan nama besar industri hiburan tanah air termasuk Datuk Ziana Zain, Dato' Ramli MS, Tenxi, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Mimi Fly, Odda, Ratu, Ammara dan ALPHA.

Tidak ketinggalan, konsert berkenaan turut menampilkan beberapa peserta Gegar Vaganza Fantasia sebagai penampilan khas, sekali gus menambahkan lagi tarikan acara yang dijangka menjadi antara hiburan pilihan menjelang penutup tahun ini.
Bagi Konsert Vaganza, sebanyak sembilan kategori tiket ditawarkan iaitu GEMPAK (RM188), MANAGER (RM288), SUPERSTAR (RM388), MELETOP (RM488), IMPIAN (RM488), STAGE (RM588), KILA UAN (RM588), HIGH COUNCIL (RM688) dan GEGAR (RM788).
Antara tarikan istimewa yang ditawarkan ialah kategori GEGAR yang turut memberikan pengalaman Meet & Greet Soundcheck kepada peminat terpilih.
Dengan konsep dan barisan penghibur yang berbeza, kedua-dua konsert ini pastinya menjadi pilihan buat peminat muzik yang ingin menikmati pengalaman hiburan secara langsung bersama artis kegemaran mereka.
Tiket Konsert Sooka dan Konsert Vaganza kini boleh didapati menerusi Ticketmelon di https://www.ticketmelon.com/astro/konsert.
Untuk maklumat lanjut mengenai kedua-dua konsert, layari gempak.com.