Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Nu Ideaktiv Kini seeNI, Satukan Kandungan, Komuniti dan Komersial Dengan Hala Tuju Baharu

Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, memperkenalkan identiti baharu menerusi seeNI dalam langkah strategik menyatukan portfolio jenama media, bakat kreatif dan komuniti di bawah satu ekosistem bersepadu.

Transformasi itu bukan sekadar perubahan nama dan identiti jenama, sebaliknya mencerminkan hala tuju baharu seeNI untuk memperluas peluang pertumbuhan perniagaan menerusi kandungan berjenama, penajaan, kempen bersama bakat serta pelbagai bentuk kerjasama komersial.

Berteraskan tiga tunjang utama iaitu Komuniti, Kandungan dan Komersial, seeNI menawarkan platform yang menghubungkan pengiklan dan agensi dengan pelbagai segmen khalayak melalui kekuatan jenama media, kepakaran kreatif serta pengaruh bakat yang dimiliki.

Antara jenama yang kini berada di bawah portfolio seeNI termasuk seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma.

Penyatuan tersebut membolehkan kekuatan setiap jenama dimanfaatkan secara lebih menyeluruh, sekali gus membuka ruang kepada kempen yang lebih bersasar berdasarkan minat, keperluan dan peringkat kehidupan khalayak.

Menerusi tunjang Komuniti, seeNI memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan melalui minat dan pengalaman bersama. Kandungan pula menggabungkan kekuatan jenama media, penceritaan, produksi serta bakat kreatif, manakala Komersial menterjemahkan hubungan berkenaan kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, peralihan kepada seeNI mencerminkan aspirasi syarikat untuk menghimpunkan kekuatan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang mampu memberikan nilai lebih besar kepada pengguna serta rakan komersial.

“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

“Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna.

“Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan,” katanya.

Dalam usaha memperluas jaringan strategik, seeNI turut memperkenalkan seeNI Collective yang menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik bagi meneroka peluang kerjasama di luar kaedah pengiklanan konvensional.

Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions menerusi inisiatif seeNI Story Lab bagi memperkasa bakat baharu industri kreatif, selain Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen serta gaya hidup.

Selain itu, seeNI Talent turut diperkenalkan bagi memadankan bakat bersesuaian dengan keperluan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan individu untuk terlibat.

Kesemua inisiatif tersebut dirangka bagi menyediakan penyelesaian lebih menyeluruh kepada pelanggan dengan menggabungkan kekuatan pelbagai platform, bakat dan komuniti mengikut sasaran serta objektif perniagaan.

Hala tuju baharu itu turut diperkenalkan menerusi acara The New World of seeNI yang berlangsung di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City.

Acara berkenaan menjadi platform untuk memperkenalkan barisan kandungan seeNI bagi tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri.

Mengangkat tema More Begins Here, seeNI berhasrat menjadi destinasi bersepadu yang membuka lebih banyak ruang untuk pelanggan meneroka kandungan, membina hubungan dengan khalayak dan mengembangkan perniagaan menerusi peluang kerjasama baharu.

Transformasi ini sekali gus menandakan fasa baharu buat Nu Ideaktiv dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pemain media digital pelbagai platform, dengan memberi penekanan kepada hubungan antara kandungan, komuniti dan peluang komersial dalam landskap media yang terus berkembang.

Advertisement

ERA Muzik Hit Terkini