Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Dikatakan Sombong, Zahirah Macwilson Anggap ‘Label’ Tersebut Keterlaluan - “Orang Boleh Cakap Apa Saja…”

Foto: Instagram

Pelakon popular, Zahirah Macwilson memilih untuk bersuara selepas namanya dikaitkan dengan dakwaan bersikap sombong dalam kalangan peminat dan netizen di media sosial.

Advertisement

Menurutnya, dia kurang selesa apabila seseorang terus membuat kesimpulan terhadap personaliti individu lain hanya berdasarkan pertemuan yang terlalu singkat.

Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson berpendapat, tanggapan seperti itu tidak wajar diberikan sewenang-wenangnya kerana setiap orang mempunyai keadaan serta emosi tersendiri pada waktu tertentu.

“Bagi saya, agak keterlaluan kalau seseorang terus dilabel sombong hanya kerana interaksi yang berlaku sekejap saja.

“Perkataan itu berat. Sedangkan bila berada di luar, saya okey saja berjumpa dan berinteraksi dengan ramai orang,” katanya.

Pelakon itu berkongsi perkara tersebut ketika hadir ke majlis tayangan drama terbaharunya berjudul Good Boys Go To Heaven yang berlangsung di TGV KLCC baru-baru ini.

Dalam masa sama, aktres berusia 30 tahun itu memaklumkan dia sentiasa menghargai sokongan peminat dan menganggap hubungan yang terjalin selama ini banyak memberi inspirasi buat dirinya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, ada kemungkinan dirinya kelihatan kurang mesra pada waktu tertentu disebabkan sedang memikirkan urusan lain, namun ia bukan sesuatu yang disengajakan.

“Saya tak boleh kawal apa orang fikir. Mungkin ketika itu saya sedang penat atau ada perkara lain di fikiran, tapi bukan berniat nak bersikap dingin,” ujarnya.

Mengulas mengenai budaya media sosial pula, Zahirah mengakui terkilan apabila ramai terlalu mudah meninggalkan komen atau tuduhan tanpa mengetahui keadaan sebenar.

Katanya, ramai tidak sedar kata-kata yang ditulis secara spontan boleh memberi kesan mendalam terhadap emosi seseorang.

“Sekarang orang boleh cakap apa saja di media sosial tanpa fikir kesannya pada individu lain.

“Kalau benda itu bukan fakta atau sekadar andaian, rasanya tak perlu terus dijadikan bahan untuk menjatuhkan orang,” katanya lagi.

Terdahulu, nama Zahirah hangat diperkatakan di Threads selepas beberapa pengguna media sosial menyenaraikannya sebagai antara artis tempatan yang didakwa kurang mesra dengan peminat.

ERA Muzik Hit Terkini