
Foto: Instagram
Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha memilih untuk tidak mengambil hati apabila menerima kritikan mengenai keadaan tangannya yang dikatakan kelihatan lebih matang berbanding wajahnya.
Advertisement
Sebaliknya, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 33, melihat setiap garis dan urat pada tangannya sebagai sesuatu yang penuh nilai emosi, terutama kerana ia mengingatkannya kepada ibunya.
“Ada yang kata muka nampak muda, tapi tangan tak boleh disembunyikan. Yang kelakarnya, saya sebenarnya paling suka tangan sendiri sebab ia buat saya teringat tangan ibu,” katanya menerusi Threads.
Menurutnya, sejak kecil lagi dia sering memerhatikan tangan ibunya yang tidak pernah berhenti bekerja, sama ada menaip mahupun memasak untuk keluarga.
“Dari dulu saya tengok jari-jemari ibu bergerak di atas mesin taip, menulis pelbagai novel. Dalam masa sama, tangan itu juga sibuk di dapur sediakan makanan untuk kami.
“Jari ibu halus, lembut dan sedikit berurat, tetapi setiap sentuhan penuh dengan kasih sayang. Saya selalu rasa tangan ibu sangat cantik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Penat itu berkata perubahan pada tangan bukan sesuatu yang perlu disorokkan, sebaliknya wajar diterima sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup seseorang.
“Saya malah tak sabar nak ada tangan seperti itu, tangan yang terbentuk daripada pengalaman hidup dan kasih yang kita berikan.
“Saya tak cuba sembunyikan tangan berurat ini. Bagi saya, ia satu penghormatan apabila tangan saya semakin menyerupai tangan ibu,” katanya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai apabila kebanyakan netizen memuji keikhlasan pelakon drama Projek High Council itu dalam menerima dirinya seadanya.
Walaupun begitu, masih ada segelintir yang memberikan pandangan berbeza, namun Daiyan kekal tenang dan memilih untuk melihat setiap komen dari sudut yang lebih positif.
Sumber: Threads @daiyantrisha