
Foto: Instagram
Pelakon dan penyampai radio, Fazziq Muqris tampil memohon maaf susulan tindakannya memuat naik video mencium isteri yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Advertisement
Fazziq atau nama sebenarnya Muhammad Fazziq Muqris Mohd Shariff, 26, berkata dia tidak menyangka perkongsian tersebut akan mencetuskan reaksi negatif, namun mengakui ia menjadi pengajaran buat dirinya.
“Saya fikir perkara itu tidak terlalu keterlaluan kerana dia isteri saya yang sah dan halal, Alhamdulillah. Bagi saya, itu hak saya sama ada mahu mencium pipi atau bibir,” katanya ketika ditemui di pelancaran filem Kata Hati di ibu kota, semalam.
Menurutnya, walaupun berpegang kepada pandangan tersebut, dia tetap menerima teguran dan memilih untuk lebih berhati-hati selepas ini.
“Saya juga selalu ingatkan isteri, orang boleh cakap apa sahaja. Selalunya, mereka lebih nampak keburukan berbanding kejayaan. Jadi, ambil pengajaran dan lebih berhati-hatilah selepas ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fazziq memberi jaminan bahawa dia tidak akan mengulangi perkara sama sekiranya ia mengundang ketidakselesaan orang ramai.
“Kalau ada netizen yang tidak suka, jangan risau, kami tidak akan ulangi lagi selepas ini... Saya mohon maaf,” katanya lagi.
Mengulas mengenai keadaan isterinya, Fazziq mengakui wanita itu terkesan dengan kecaman yang diterima sehingga menjejaskan emosinya.
“Isteri sedih dan ‘down’. Mungkin ada yang komen sekadar mahukan perhatian. Sebagai suami, saya cuba pujuk dan jelaskan supaya dia teruskan kehidupan,” katanya.
Tambahnya, mereka memilih untuk tidak terus memikirkan perkara tersebut dan cuba bangkit meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Apa yang sudah berlaku kita abaikan. Kalau kita terus fikir, kita tidak akan ke mana. Kita tidak pendam, tetapi cuba pulihkan diri dan teruskan ke hadapan,” jelasnya.
Fazziq turut menasihati isterinya agar tidak melayan komen negatif di media sosial kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan.
“Saya pesan pada isteri, peraturan utama dalam media sosial adalah jangan beri sebarang reaksi terhadap perkara negatif.
“Kalau kita balas, mereka akan rasa menang. Jadi, biarkan sahaja. Kalau tak suka, boleh ‘scroll’. Kalau suka, komenlah dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, kemesraan Fazziq bersama isterinya, Areeqa, menjadi perhatian apabila wanita itu memuat naik video sebagai tanda sokongan terhadap penyertaannya dalam pertandingan Hyrox.
Namun, aksi bercium dalam video tersebut mengundang kritikan segelintir netizen yang berpendapat ia kurang sesuai untuk tontonan umum meskipun melibatkan pasangan suami isteri.
Untuk rekod, Fazziq mendirikan rumah tangga dengan Areeqa pada 22 November tahun lalu. Areeqa merupakan seorang pempengaruh media sosial dan dari informasi yang beredar, hubungan mereka mula terjalin sejak 2019.