Skip to main content

Advertisement

Hiburan

List Selebriti Didakwa ‘Sombong’, Ayda Jebat Mohon Maaf Sekiranya Ada Yang Terasa Hati - “Terkadang Penat Pun Boleh Disalah Erti..”

Foto: Facebook

Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat mengakui terkejut apabila dirinya menjadi sebutan segelintir pihak yang mendakwa dia bersikap sombong selepas tidak melayan permintaan bergambar dalam satu acara.

Advertisement

Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, situasi seperti itu kadangkala berlaku disebabkan kekangan tertentu terutama ketika menghadiri acara rasmi yang mempunyai peraturan ketat daripada pihak penganjur, termasuk had untuk sesi bergambar.

Walaupun begitu, beliau menegaskan dirinya jarang menghampakan peminat dan akan cuba memenuhi permintaan bergambar walaupun berada dalam kawalan pengawal peribadi.

“Kadang-kadang di sesuatu acara bukan kita tak nak ambil gambar atau sombong, tapi memang syarat event itu tak dibenarkan untuk ambil gambar kecuali di main stage ataupun bila dibenarkan oleh pihak penganjur.

“Saya jarang tidak ambil gambar bersama peminat. Walau ada bodyguard sekalipun, saya tetap akan berhenti untuk ambil gambar. Mungkin kalau ada pengalaman tak best yang buat orang rasa saya sombong, mungkin ia tak disengajakan.

“Saya tiada niat, minta maaf. Pada saya, perkara seperti ini tak perlu diperbesarkan. Lebih baik kita kongsikan perkara yang baik-baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda turut menjelaskan bahawa artis juga manusia biasa yang mempunyai emosi serta keadaan diri yang berubah-ubah.

“Artis pun manusia biasa. Ada masa kita bekerja, ada masa kita keluar untuk berehat. Kadang-kadang bila penat, mood untuk beramah mesra tu mungkin tak tinggi. Jadi kita rasa nak cepat saja selesaikan urusan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia tidak menyimpan rasa kecil hati walaupun namanya menjadi perbualan, sebaliknya memilih untuk melihat perkara tersebut secara positif.

“Saya tak rasa terkilan atau down bila nama disebut. Mungkin mereka ada pengalaman masing-masing, atau ada juga yang nak hypekan cerita. Betul atau tidak, hanya Allah yang tahu.

“Tapi dari hati saya, saya benar-benar nak minta maaf kalau ada yang pernah terasa hati dengan saya,” katanya lagi.

Terdahulu, pelakon Mira Filzah turut tampil memberi penjelasan selepas namanya menjadi bualan di Threads apabila didakwa bersikap dingin terhadap orang awam di sebuah pusat beli-belah.

Sumber: Gempak

ERA Muzik Hit Terkini