
Foto: Instagram
Penyanyi, Sufian Suhaimi kini menghitung detik indah dalam hidup apabila bakal bergelar bapa dalam masa terdekat.
Advertisement
Sufian atau nama sebenarnya Muhammad Sufian Mohd. Suhaimi, 34, mengesahkan isterinya, Rania Al Sadat sudah berada di fasa akhir kehamilan dan kini hanya menunggu masa untuk melahirkan anak pertama mereka.
"Ya, betul. Saya bakal jadi seorang bapa. Lepas ini jangan panggil saya Baby Pian lagi, panggil Daddy Pian pula.
“Sekarang ini memang hanya tunggu masa sahaja. Kandungan pun sudah hampir 37 minggu, jadi bila-bila masa sahaja,” katanya.
Berkongsi tentang persiapan, pelantun lagu Di Matamu itu menjelaskan segala keperluan asas sudah disediakan lebih awal, namun dari segi emosi, dia mengakui masih dilanda debaran.
“Kalau dari segi barang-barang, saya rasa sudah siap. Tapi persediaan emosi dan mental, itu masih berdebar.
“Bila tanya kawan-kawan, tiada siapa pun yang betul-betul bersedia 100 peratus untuk anak pertama. Jadi saya rasa saya pun dalam situasi sama, cuma sangat teruja,” ujarnya.
Dalam masa sama, mereka turut mengambil langkah menghadiri kelas antenatal sebagai persediaan awal sebelum menyambut kehadiran bayi.
“Ada, kami pergi kelas antenatal. Banyak juga belajar. Kalau buka TikTok pun, sekarang ini penuh dengan tips keibubapaan.
"Nama pun sudah ada beberapa pilihan. Biasalah, isteri lebih teruja memilih, dia ‘add to cart’, saya pula ‘checkout’,” kongsinya.
Mengulas keadaan isterinya sepanjang tempoh kehamilan, Sufian meluahkan rasa syukur kerana semuanya berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi serius.
“Alhamdulillah, dia sangat kuat. Alahan pun ringan sahaja masa trimester pertama. Muntah pun tak banyak.
"Mengidam pun tiada. Kami memang suka makan dan ‘food hunting’, jadi tak nampak beza sangat sebelum dan selepas hamil,” jelasnya.
Tambahnya lagi, meskipun isterinya kelihatan lemah lembut, wanita itu sebenarnya kuat dan aktif dalam menjalani rutin harian.
"Walaupun dia nampak manja, sebenarnya dia kuat. Setiap hari lepas Subuh kami akan jalan kaki kira-kira tiga kilometer.
“Dia pula yang ‘push’ saya. Jadi sebagai bakal ibu, dia memang sangat kuat dan saya bersyukur tiada perkara merisaukan,” tuturnya.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2 Mei tahun lalu dan kini bersedia melangkah ke fasa baharu sebagai ibu bapa.