Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Penyanyi Lagu Tular ‘Here With Me’, D4vd Mengaku Tidak Bersalah Kes Bunuh Remaja Perempuan

Foto: BBC

Penyanyi Amerika Syarikat, D4vd hadir ke mahkamah pada Isnin dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan.

Advertisement

D4vd atau nama sebenarnya David Anthony Burke berdepan kes berkaitan kematian Celeste Rivas Hernandez, yang mayatnya ditemui pada September lalu, beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-15.

Menurut pihak pendakwaan, mangsa dipercayai masih di bawah umur ketika didakwa menjalinkan hubungan tidak bermoral secara berulang dengan tertuduh. 

Keadaan itu didakwa menjadi titik mula kepada insiden apabila mangsa mengugut untuk mendedahkan perkara tersebut yang dikatakan boleh menjejaskan kerjaya muziknya.

Peguam Daerah Los Angeles, Nathan Hochman, mendakwa tertuduh membunuh mangsa sebelum memotong tubuhnya dan menyimpan bahagian tersebut di dalam beg yang diletakkan di ruang simpanan hadapan keretanya.

Beliau turut menyatakan bahawa mayat mangsa dibiarkan dalam tempoh beberapa bulan sebelum ditemui dalam keadaan sudah mereput.

Dalam prosiding mahkamah, pihak peguam memasukkan pengakuan tidak bersalah bagi pihak D4vd. Dia kini masih ditahan dan dijadualkan hadir semula ke mahkamah pada Khamis.

Pihak pembelaan sebelum ini menafikan semua tuduhan. Dalam kenyataan peguamnya, mereka berkata,

“Biarlah jelas, bukti sebenar dalam kes ini akan menunjukkan bahawa David Burke tidak membunuh Celeste Rivas Hernandez dan dia bukan penyebab kematiannya.”

Kes ini melibatkan beberapa pertuduhan serius termasuk pembunuhan, penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur, serta perbuatan mencacatkan mayat secara tidak sah.

D4vd mula dikenali pada 2022 selepas lagu Romantic Homicide menjadi tular di TikTok dan melonjakkan namanya dalam industri muzik.

Siasatan kes bermula apabila pihak berkuasa menerima aduan bau busuk daripada sebuah kenderaan yang ditunda di kawasan Hollywood. Kereta Tesla milik tertuduh didapati telah lama diletakkan di Hollywood Hills sebelum ditarik.

Penyiasat percaya mayat mangsa mungkin berada dalam kenderaan itu lebih lama daripada yang dijangka, dengan keadaan mayat yang sudah mereput menyukarkan penentuan punca kematian secara tepat.

Mangsa dilaporkan hilang oleh ibunya pada tahun 2024 ketika berusia 13 tahun selepas menetap di Lake Elsinore.

Sumber: Astro AWANI

ERA Muzik Hit Terkini