Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Pertunangan Bella Astillah dan Syed Saddiq Cetus Fenomena, Capai Ratusan Juta Tontonan

Majlis pertunangan Bella Astillah bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berlangsung pada 28 Mac lalu mencuri perhatian besar rakyat Malaysia, sekali gus menjadi antara peristiwa paling hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Acara tersebut berjaya mengumpulkan hampir 130 juta tontonan secara keseluruhan merentas pelbagai platform, dengan Astro menggerakkan liputan melalui rangkaian salurannya termasuk Astro Ria, Astro AWANI, Astro Gempak, ERA, Astro GO dan Sooka.

Advertisement

Dari segi capaian, siaran langsung itu menarik lebih empat juta penonton di seluruh negara. Di platform digital pula, tontonan langsung mencecah 6.5 juta sebelum melonjak kepada lebih 121 juta tontonan di media sosial dalam tempoh sehari.

Kejayaan ini turut memperlihatkan bagaimana penonton kini berinteraksi dengan kandungan secara merentas pelbagai platform dalam masa nyata.

Bukan sekadar angka, siaran berkenaan turut meninggalkan impak emosi kepada penonton melalui beberapa detik yang menyentuh hati sepanjang majlis berlangsung.

Antara yang paling menjadi perhatian ialah ucapan oleh Syed Saddiq yang menyentuh mengenai kekuatan dan ketabahan Bella sebagai seorang wanita dan ibu, selain mengangkat nilai kekeluargaan sebagai asas penting. Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dan perbualan dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa sama, Astro turut memperkenalkan elemen integrasi jenama yang membawa nilai seperti SSPN, sekali gus memberi pendekatan baharu terhadap konsep hantaran dengan menekankan aspek pendidikan dan perancangan kewangan jangka panjang.

Kerjasama lain yang terlibat termasuk Kitsui dan Great Wall Motor (GWM), yang turut menyumbang kepada keseluruhan pengalaman majlis tersebut.

Perkembangan ini mencerminkan perubahan corak penggunaan kandungan dalam kalangan rakyat Malaysia, apabila penonton kini bergerak antara televisyen, digital, radio dan media sosial secara serentak.

Situasi ini mengukuhkan lagi kedudukan Astro sebagai platform media bersepadu yang mampu menyampaikan kandungan secara meluas serta relevan dalam membentuk budaya pop tempatan.

Menurut Naib Pengerusi Hiburan dan Drama Astro, Raqim Ahmad, pihaknya menghargai peluang merakam detik bersejarah tersebut.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Bella Astillah dan YB Syed Saddiq atas langkah pertama dalam perjalanan mereka bersama, serta kepercayaan yang diberikan kepada Astro untuk merakam detik penuh bermakna ini.

“Momen ini turut membuktikan kekuatan sebenar kandungan dan ekosistem Astro, di mana kandungan bergerak lancar merentas TV, digital, radio dan media sosial untuk mencipta pengalaman bersatu di seluruh negara.

“Skala penglibatan yang dicapai mencerminkan sejauh mana rakyat Malaysia berhubung dengan kisah ini, sekaligus mengukuhkan keupayaan kami dalam mengangkat detik masa nyata menjadi fenomena budaya,” katanya.

Astro akan terus membawakan liputan eksklusif berkaitan perjalanan pasangan ini, termasuk detik menuju hari perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

ERA Muzik Hit Terkini