
Foto: Kata Hati
Filem tempatan bergenre komedi romantik berjudul Kata Hati bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi, sekali gus dijangka mengubat kerinduan peminat terhadap naskhah romantik komedi yang semakin jarang dihasilkan dalam industri filem tempatan.
Advertisement
Diarahkan oleh Nadiah Hamzah, filem ini diterbitkan oleh Wayangworks Sdn. Bhd. bersama Filmscape Sdn. Bhd., dengan gabungan elemen cinta, humor dan realiti kehidupan moden yang lebih dekat dengan penonton masa kini.
Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, idea penghasilan filem ini tercetus daripada pemerhatian mereka terhadap dunia selebriti yang mempunyai dua sisi berbeza.
“Kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan melihat sendiri perbezaan ketara antara persona yang ditonjolkan di depan kamera dengan kehidupan sebenar di belakang tabir,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman itu menjadi inspirasi untuk membina sebuah cerita cinta yang berlatar belakangkan dunia glamor, namun masih berpaksikan realiti kehidupan manusia biasa.
Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Nia Atasha, Yusof Hashim, Fazziq Muqris, Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.
Menariknya, kisah ini mengangkat percintaan antara seorang pelakon wanita popular dengan seorang pemandu e-hailing, yang membawa pertembungan dua dunia berbeza dalam satu hubungan.
Selain itu, penonton turut disajikan dengan kemunculan khas beberapa selebriti terkenal termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.
Sementara itu, pengarah Nadiah Hamzah menjelaskan bahawa filem ini menyajikan pelbagai lapisan emosi yang digabungkan dalam penceritaan ringan tetapi bermakna. Selepas mengarahkan karya yang lebih serius sebelum ini, beliau memilih untuk menghasilkan filem yang lebih santai namun masih mampu menyentuh perasaan penonton.
“Saya mahu penonton datang beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang bukan biasa-biasa,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa filem ini diharap mampu membuat penonton ketawa dan sebak pada masa sama, serta mengingatkan semula tentang kemanisan dalam hubungan cinta.
Filem Kata Hati dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Jun 2026.