
Foto: Instagram
Anggota kumpulan WINNER, Song Min Ho berdepan hukuman penjara selama satu tahun enam bulan selepas didapati tidak mematuhi kewajipan perkhidmatan ketenteraan yang ditetapkan di Korea Selatan.
Advertisement
Mengikut laporan, Min Ho sepatutnya menjalani tugas sebagai pegawai perkhidmatan awam bermula 24 Mac 2023 hingga 23 Disember 2024.
Dalam tempoh itu, dia dijangka melengkapkan kira-kira 430 hari perkhidmatan, namun dilaporkan tidak hadir bertugas selama 102 hari.
Susulan pelanggaran tersebut, Mahkamah Seoul Barat menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atasnya kerana melanggar undang-undang berkaitan khidmat tentera, seperti dilaporkan oleh The Korea Times.
Berikutan keputusan itu, Min Ho tampil memohon maaf secara terbuka serta mengakui kesilapan yang dilakukan. Menerusi wakilnya, dia turut merayu agar hukuman dipertimbangkan semula dengan alasan sedang berdepan masalah kesihatan mental termasuk serangan panik dan gangguan bipolar.
Selain itu, dia juga dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian leher yang berpotensi menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas dengan baik.
Dalam masa sama, Min Ho menyatakan kesediaannya untuk kembali menyempurnakan tanggungjawab ketenteraan sekiranya diberikan peluang kedua selepas keadaan kesihatannya pulih.
Kes ini mula menjadi perhatian umum selepas media tempatan melaporkan dia kerap mengambil cuti dan tidak melaksanakan tugas seperti yang sepatutnya. Walaupun memberi alasan kesihatan, dia didakwa masih aktif menghadiri acara hiburan dan aktiviti sosial ketika tempoh perkhidmatannya.
Sumber: The Korea Times