Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Fenomena ‘KUDRAT 1968: High Council’ Gegarkan House of KUDRAT, Cipta Budaya Fandom Tersendiri

Fenomena KUDRAT 1968: High Council semakin mencuri perhatian apabila pengaruh siri premium Astro Original itu kini berkembang jauh melangkaui skrin televisyen, sekali gus mencetuskan budaya fandom tersendiri dalam kalangan penonton.

Bukan sekadar menjadi antara siri tempatan yang hangat diperkatakan, KUDRAT 1968 turut mencetuskan pelbagai perbualan, teori peminat dan perdebatan di media sosial menerusi jalan cerita yang sarat dengan konflik, persahabatan, kuasa serta pengkhianatan.

Advertisement

Diterbitkan oleh Astro Shaw dan diarahkan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, siri berkenaan mula menemui penonton menerusi tayangan perdana pada 11 September lalu, dengan barisan pelakon muda yang turut mendapat perhatian peminat.

Momentum KUDRAT 1968 turut diterjemahkan menerusi prestasi tontonan yang memberangsangkan di Astro dan sooka, selain muncul sebagai siri nombor satu di Netflix Malaysia selama dua minggu berturut-turut.

Menariknya, dalam tempoh hanya 14 hari dan selepas dua episod ditayangkan, KUDRAT 1968 telah meraih lebih 90 juta tontonan menerusi klip media sosial, memperlihatkan sejauh mana kandungan siri tersebut berjaya mencetuskan perbualan dalam kalangan penonton.

Mengangkat isu berkaitan jurang kelas dalam masyarakat, KUDRAT 1968 bukan sahaja menghidangkan konflik dramatik, malah membuka ruang kepada penonton untuk membincangkan pelbagai persoalan berkaitan kuasa, status sosial dan hubungan sesama manusia.

House of KUDRAT Bawa Dunia Siri Ke Alam Nyata

Bagi meneruskan momentum fenomena tersebut, Astro tampil dengan House of KUDRAT, sebuah pengalaman eksklusif yang membawa dunia KUDRAT 1968 secara langsung kepada para peminat.

Untuk satu hari sahaja, Astro Experience Store di IOI City Mall, Putrajaya akan bertukar menjadi House of KUDRAT, memberi peluang kepada peminat untuk merasai sendiri elemen yang sinonim dengan siri berkenaan dalam suasana lebih interaktif.

Tidak terhenti di situ, House of KUDRAT turut menampilkan kolaborasi bersama jenama fesyen tempatan, Christy Ng, menerusi koleksi khas Christy Ng X KUDRAT 1968.

Koleksi edisi terhad yang diinspirasikan daripada dunia KUDRAT 1968, termasuk beg dan stokin, turut diperkenalkan kepada peminat dan boleh didapati di kedai terpilih serta laman web Christy Ng.

Peminat Jadi Sebahagian Daripada Fenomena KUDRAT

Lebih daripada sekadar sebuah acara, House of KUDRAT turut menjadi ruang untuk Astro meraikan peminat yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kejayaan siri tersebut.

Menerusi Astro Rewards, peminat berpeluang bertemu secara eksklusif dengan barisan pelakon KUDRAT 1968, termasuk Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Chech Harith, Evertts Gomes, Muzayyin Mahyuddin, Umar Shakur dan Jebat Zulfar.

Dengan fenomena yang terus berkembang, KUDRAT 1968: High Council dijangka terus menjadi bahan perbualan peminat menerusi episod-episod seterusnya.

Episod 3 akan ditayangkan pada 9 Oktober, diikuti episod 4 pada 16 Oktober, menerusi Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat, jam 9 malam.

Pelanggan juga boleh menonton episod lebih awal pada tengah malam menerusi sooka atau Astro X3, penawaran baharu berasaskan penstriman tanpa memerlukan dekoder, pemasangan atau kontrak, bermula daripada RM39.99*.

Dalam perkembangan berkaitan, filem KUDRAT 1968 turut dijadualkan menemui penonton di pawagam pada tahun ini.

Gunakan tanda pagar #KUDRAT1968 untuk mengikuti serta menyertai perbualan mengenai siri berkenaan di media sosial, selain mendapatkan perkembangan terkini dan klip menarik menerusi akaun digital Astro Shaw.

ERA Muzik Hit Terkini