Foto: Instagram
Penyanyi terkenal Indonesia, Afgansyah Reza atau lebih dikenali sebagai Afgan, mendedahkan kehidupannya kini jauh lebih tenang selepas menunaikan ibadah haji pada Jun lalu. Sejak pulang dari Tanah Suci, penyanyi berusia 35 tahun itu mula menjadikan zikir sebagai amalan harian menggunakan tasbih digital.
Advertisement
Afgan berkata pengalaman menunaikan haji memberi kesan yang mendalam kepadanya, terutama dari segi ketenangan jiwa dan hubungan dengan Allah.
Katanya, dia mula menggunakan tasbih digital ketika berada di Mekah dan terus menjadikannya kebiasaan sehingga ke hari ini.
“Saya mula gunakan tasbih digital masa di sana (Tanah Suci). Sebelum ini saya tak pernah pakai, tapi sekarang kalau saya rasa gementar atau berada di tempat ramai orang, saya akan berzikir. Ia buat saya lebih tenang,” katanya.
Menurut Afgan, ibadah haji bukan sahaja memberi peluang untuk membersihkan diri, tetapi juga mengajarnya untuk lebih berserah dan redha dalam setiap perkara.
“Selepas haji, saya rasa lebih dekat dengan Allah dan lebih menghargai setiap detik dalam hidup. Saya belajar untuk tidak terlalu risau tentang hal dunia, tapi lebih fokus kepada ketenangan batin,” jelasnya.
Afgan turut menegaskan bahawa penggunaan tasbih digital bukan sekadar gaya hidup atau aksesori, sebaliknya menjadi satu alat penting untuk mengingatkan dirinya agar sentiasa berzikir dan bersyukur.
“Zikir membantu saya kekal fokus dan mengurangkan tekanan. Dalam industri hiburan, kadang-kadang kita mudah rasa penat atau tertekan, jadi ini cara saya menenangkan diri,” tambahnya.
Afgan berharap perubahan yang dialaminya selepas menunaikan haji dapat kekal dan terus memperbaiki dirinya sebagai seorang Muslim serta menjadi inspirasi kepada orang lain untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan.
Sumber : Gempak