Skip to main content

Advertisement

Hiburan

'Akad Yang Hilang’ Kritik Luka Sosial Masyarakat, Pengarah Papar Realiti Kehidupan Menerusi Isu Nikah Fasid

’akad yang hilang’ kritik luka sosial masyarakat, pengarah papar realiti kehidupan menerusi  isu nikah fasid

Akad Yang Hilang ialah sebuah filem drama yang menyentuh isu sensitif berkaitan nikah fasid serta kesannya terhadap kehidupan individu dan keluarga.

Advertisement

Filem arahan Bahri Uma Bajuri ini ditulis oleh Eenaz Mokhtar dan Zuli Ismail, dengan barisan penerbit terdiri daripada Zuli Ismail, Reen Emran, Eenaz Mokhtar dan Syadhafiza Rosli.

Menampilkan Mira Filzah sebagai Maryam dan Syarul Ezani sebagai Ammar, filem ini turut dibintangi Idan Aedan (Zaki), Sherie Merlis (Suraya) dan Aleza Shadan (Ramlah). Akad Yang Hilang mengetengahkan sebuah kisah yang dekat dengan realiti masyarakat, namun jarang dibicarakan secara terbuka.

Kisah Maryam dan Perkahwinan yang Dipersoalkan

Cerita bermula apabila Maryam merancang untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya, Ammar. Sebagai sebahagian daripada proses pendaftaran perkahwinan, Maryam memohon wali hakim kerana bapanya telah meninggal dunia, manakala adiknya, Zaki, masih di bawah umur.

Namun, langkah tersebut membuka satu kebenaran yang tidak pernah disangka apabila Mahkamah Syariah memaklumkan bahawa perkahwinan ibu bapa Maryam adalah tidak sah kerana fasid. Pendedahan itu bukan sahaja menggugat perkahwinan yang dirancang, malah mencetuskan persoalan besar tentang status dan identiti Maryam sendiri.

Apabila Isu Peribadi Menjadi Hukuman Awam

Konflik menjadi semakin berat apabila isu tersebut tersebar ke media sosial dan Maryam menjadi sasaran kecaman masyarakat. Filem ini memaparkan bagaimana penghakiman sosial berlaku dengan pantas, tanpa empati dan tanpa memahami keseluruhan cerita.

Akad Yang Hilang menggambarkan tekanan emosi yang terpaksa ditanggung oleh Maryam dan orang sekelilingnya, sekali gus memperlihatkan kesan domino sesuatu pendedahan terhadap maruah, hubungan kekeluargaan dan masa depan seseorang.

’akad yang hilang’ kritik luka sosial masyarakat, pengarah papar realiti kehidupan menerusi  isu nikah fasid

Menyampaikan Isu Berat Dengan Penceritaan Berlapik

Menurut pengarahnya, Bahri Uma Bajuri, antara cabaran utama filem ini adalah memastikan isu berat seperti nikah fasid dapat disampaikan dengan jelas tanpa membebankan penonton.

            ⁠“Walaupun topiknya berat dan tidak semua orang jelas tentang nikah fasid, saya harap penceritaan ini mudah difahami dan tidak membuat penonton rasa tertekan ketika menontonnya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan filem ini bukan untuk menghukum, sebaliknya mengajak penonton memahami konteks dan kesan sesuatu tindakan.

Lebih Daripada Sekadar Kisah Perkahwinan

Secara keseluruhannya, Akad Yang Hilang bukan sekadar sebuah kisah tentang perkahwinan yang bermasalah, tetapi sebuah refleksi tentang kesilapan masa lalu yang diwarisi, identiti yang dipersoalkan dan kecenderungan masyarakat untuk menghukum tanpa mengetahui kebenaran sepenuhnya.

Filem yang akan menemui penonton pada 15 Januari ini mengajak penonton untuk berfikir tentang empati, tanggungjawab sosial dan akibat penghakiman terburu-buru menjadikan Akad Yang Hilang sebuah naskhah yang relevan dengan realiti semasa.

ERA Muzik Hit Terkini