Foto: The Chosun Daily
Akta Goo Hara yang melarang ibu bapa cuai daripada menerima harta pusaka anak mereka akan berkuat kuasa sepenuhnya bermula 1 Januari 2026, iaitu enam tahun selepas kematian penyanyi Korea Selatan, Goo Hara.
Advertisement
Mahkamah Agung Korea Selatan pada 30 haribulan lalu mengumumkan beberapa perubahan besar dalam sistem kehakiman yang akan dilaksanakan pada separuh pertama tahun hadapan, termasuk pelaksanaan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Goo Hara.
Menurut ketetapan tersebut, hak pewarisan bagi ibu bapa atau keturunan boleh dilucutkan sekiranya mereka didapati gagal melaksanakan tanggungjawab menyara anak ketika masih bawah umur, melakukan jenayah serius terhadap anak, pasangan atau keturunan mangsa, bahkan melayan mereka secara tidak adil.
Namun begitu, pelucutan hak warisan itu tidak berlaku secara automatik. Tuntutan perlu dikemukakan melalui wasiat si mati atau oleh waris lain, dan keputusan akhir tertakluk kepada kelulusan mahkamah keluarga.
Akta berkenaan tercetus susulan usaha abang mendiang Goo Hara, Koo Ho In, yang memperjuangkan keadilan selepas kematian adiknya pada 24 November 2019 sewaktu berusia 28 tahun. Isu tercetus apabila ibu kandung Goo Hara muncul secara tiba-tiba dan menuntut hak warisan.
Difahamkan, ibu kandung penyanyi itu meninggalkan keluarga ketika Goo Hara baru berusia sembilan tahun dan terputus hubungan selama hampir dua dekad sebelum muncul semula bersama peguam ketika upacara pengebumian. Tindakannya menuntut separuh daripada hasil penjualan harta pusaka Goo Hara mencetuskan kemarahan orang ramai.
Susulan itu, Koo Ho In memfailkan saman pembahagian harta pusaka terhadap ibunya atas alasan kecuaian dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Mahkamah Keluarga Gwangju kemudiannya mengiktiraf sumbangan bapa yang membesarkan Goo Hara dan menetapkan pembahagian warisan pada nisbah enam kepada empat.
Usaha menggubal Akta Goo Hara bermula sejak Mac 2020 menerusi petisyen dan cadangan di Perhimpunan Kebangsaan. Walaupun rang undang-undang itu beberapa kali tergendala akibat tamatnya tempoh penggal Parlimen ke-20 dan ke-21, ia akhirnya diluluskan dalam sidang pleno Parlimen ke-22 tahun lalu, kira-kira tiga bulan sebelum ulang tahun kelima kematian Goo Hara.
Akta tersebut dijadualkan dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun 2026.
Sumber: The Chosun Daily