Foto: Threads
Seorang rakyat Malaysia berjaya mencuri perhatian apabila terlibat secara langsung dalam pembikinan filem terbaharu Marvel, The Fantastic Four: First Steps, yang diarahkan oleh Matt Shakman dan menjadi antara projek paling dinanti peminat Marvel Cinematic Universe (MCU).
Advertisement
Ahmad Hamidullah, anak tempatan yang kini menetap di luar negara, berkongsi rasa syukur dan bangganya apabila namanya terpapar dalam kredit filem tersebut. Perkongsian itu dibuat menerusi sebuah hantaran di laman Threads, sekali gus mencerminkan pencapaian peribadi yang bermakna dalam kariernya.
“Alhamdulillah. Setahun lagi, filem Marvel yang lain. Kali ini dapat kredit dalam Fantastic 4,” tulis beliau.
Ahmad menjelaskan bahawa beliau bertugas dalam pasukan pasca-produksi filem tersebut, khususnya dalam aspek tekstur bagi beberapa aset visual. Beliau turut mendedahkan bahawa ini bukanlah penglibatannya yang pertama dalam dunia Marvel, malah pernah bekerjasama dalam beberapa filem dan siri TV lain sebelum ini.
“Ya, post production. A couple of movies and TV series. Aku specific buat texture. KL team mainly handle 3D asset,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pasukannya terlibat menghasilkan babak berkaitan watak Moleman serta dunia bawah tanah Subteranea, termasuk rekaan bas retro dan pemandangan bawah tanah yang unik.
Ahmad kini bekerja dengan syarikat Base FX, yang turut terlibat dalam pelbagai projek antarabangsa. Beliau menyatakan hasrat untuk berkongsi lebih banyak maklumat dan pengalaman di masa akan datang.
Kejayaan ini sekali gus membuktikan kemampuan dan bakat anak muda Malaysia di pentas global, khususnya dalam industri kreatif bertaraf antarabangsa. Tahniah diucapkan kepada Ahmad atas pencapaian membanggakan ini.
Sumber: Threads @artomedes