Foto: Kosmo
Apa yang bermula sebagai kegagalan mencari kerja jurutera di Perancis 23 tahun lalu, kini bertukar menjadi kisah kejayaan unik buat rakyat Singapura berketurunan Melayu, Ewan Irwan, lapor portal Stomp.
Advertisement
Ewan, 51, yang berhijrah ke Perancis pada usia 28 tahun bersama isterinya Sophie, pada awalnya berharap dapat bekerja dalam bidang kejuruteraan. Namun selepas gagal, beliau mengambil kerja sambilan untuk menyara hidup sambil mengikuti kursus pembuatan roti.
Tidak lama kemudian, Ewan bekerja di sebuah kedai roti di Lyon sebelum berpindah ke Saint-Robert, sebuah kampung kecil kira-kira dua jam dari Toulouse. Di situ, beliau mengambil alih satu-satunya kedai roti, Le Fournil de Saint-Robert, yang kini diusahakannya sejak 18 tahun lalu.
Rakaman video menunjukkan Ewan tekun membakar roti tradisional menggunakan ketuhar kayu, teknik klasik yang masih dikekalkan.
“Pada mulanya, penduduk kampung pelik melihat seorang berwajah Asia menguruskan kedai roti mereka,” katanya sambil ketawa kecil dalam temu bual bersama The New Paper.
Kini, Ewan dikenali sebagai tukang roti kesayangan masyarakat setempat. Beliau tinggal bersama Sophie dan anak lelaki mereka, Kalis, 19, yang sedang berlatih untuk menjadi penolong ketua cef di Perancis.
“Saya orang Melayu, jadi keluarga tetap keutamaan. Walaupun saya menghormati budaya Perancis, saya tetap mahu mengekalkan budaya saya sendiri,” ujar anak jati Tampines itu.
Sumber: Kosmo