
Foto: Instagram
Advertisement
Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali belum bersedia untuk berkongsi wajah dan nama bayi lelakinya kepada umum walaupun selepas lebih dua bulan menimang cahaya mata.
Menolak penyakit ain sebagai alasan, Nabila hanya mahu menjaga privasi dan keselamatan anaknya.
Nur Nabila Mohd Razali, 33, dan suami, Nik Iruwan Nik Izani berkata mereka hanya mampu merancang dan menyerahkan urusan selebihnya kepada Tuhan.
“Kami sebagai individu yang baru dalam bidang kekeluargaan cuba sedaya upaya memberi keselamatan terbaik dan kasih sayang secukupnya buat anak.
“Kalau hendak cakap mengenai penyakit ain, itu di luar bidang kuasa kami. Kami tidak boleh halang sesiapa untuk bercakap mengenai anak.
“Kami yang baru kahwin ini pun tidak tahu apa niat orang. Kami hanya boleh jaga dan pasang perisai sahaja. Kami harap semua urusan dipermudahkan,” katanya.
Mereka berdua juga meminta orang ramai untuk tidak mendahului mereka dalam berkongsi foto anak sulungnya dan berharap agar orang lain dapat menghormati privasi yang ditetapkan.

Foto: Instagram
Nik Iruwan berkata, perkara utama ditekankan ialah keselamatan anak kecil mereka.
“Saya menitikberatkan keselamatan anak dan privasi keluarga. Saya fikir kita ambil masa untuk tonjolkan anak di hadapan.
“Saya dan isteri selalu sibuk bekerja, tetapi kami sentiasa cari masa untuk dekat dengan anak,” katanya.
Nabila dan Nik Iruwan yang merupakan seorang usahawan mendirikan rumah tangga pada 18 November 2023. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.
Sumber: Berita Harian