
Universiti Oxford, United Kingdom sekali lagi menjadi tumpuan apabila beberapa anak selebriti terkenal terpilih menyertai beberapa program akademik antarabangsa berprestij yang menghimpunkan pelajar muda dari seluruh dunia.
Advertisement
Antara yang mencuri perhatian ialah Noah Sinclair, anak kepada penyanyi terkenal Indonesia Bunga Citra Lestari (BCL). Kehadiran Noah dan sepupunya, Soraya yang juga anak perempuan penyampai radio Aishah Sinclair di Oxford bagi mengikuti Winter Camp menandakan langkah awalnya dalam pendedahan pendidikan global. Program ini memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan, pemikiran kritikal, komunikasi serta pendedahan awal kepada suasana universiti bertaraf dunia.

Turut terlibat ialah anak kepada angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, iaitu Sophea Natasha yang mengikut kursus kepimpinan di sana. Latar belakang Dr Sheikh Muszaphar yang sinonim dengan sains, disiplin dan kecemerlangan akademik menjadikan penyertaan ini selari dengan nilai pendidikan yang diterapkan dalam keluarganya sejak kecil.

Dalam perkembangan berasingan, Engku Aleesya, anak tunggal kepada primadona Malaysia Erra Fazira, juga berlepas ke Oxford setelah terpilih untuk menyertai kursus jangka pendek. Kursus tersebut ditawarkan setelah Aleesya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan IGCSE. Aleesya sering dilihat aktif dalam pelbagai aktiviti pembangunan diri dan penyertaannya ke Oxford menjadi bukti komitmen Erra Fazira dalam memastikan pendidikan anaknya seimbang antara akademik, sahsiah dan pendedahan antarabangsa.
Program anjuran Oxford merupakan program jangka pendek. Antara pengisian utama program ini termasuk:
- Kelas interaktif di persekitaran Universiti Oxford
- Latihan kepimpinan & pengucapan awam
- Pendedahan budaya antarabangsa
- Lawatan akademik & aktiviti berkumpulan
- Pembinaan keyakinan dan pemikiran global
Program ini bukan bermaksud kemasukan rasmi sebagai pelajar Oxford, namun ia menjadi platform pendedahan awal kepada dunia akademik bertaraf Ivy League.
Penyertaan Noah Sinclair, Sophea Natasha dan Engku Aleesya membuktikan bahawa pendidikan global kini menjadi keutamaan ramai ibu bapa selebriti bukan demi glamor, tetapi sebagai pelaburan ilmu dan pembentukan karakter.
Langkah awal ini diharap menjadi asas kukuh buat mereka untuk membina masa depan sebagai generasi berilmu, berdaya saing dan berfikiran global.