Foto: Instagram
Penyanyi, Syasya Rizal berkongsi pengalaman mencemaskan apabila anak sulungnya tiba-tiba menangis tanpa mengeluarkan suara sehingga wajahnya perlahan-lahan berubah menjadi kebiruan.
Advertisement
Menerusi satu perkongsian di Threads, Syasya menceritakan kejadian itu berlaku ketika anaknya mengalami tantrum, sebelum kelihatan lemah dan hampir pengsan di hadapannya.
Menurut Syasya, sebagai seorang ibu, dia tidak sempat memikirkan perkara lain selain cuba menyelamatkan keadaan apabila melihat perubahan drastik pada keadaan anaknya.
“Tiba-tiba dia tantrum dan menangis tanpa suara. Muka dia mula bertukar kebiruan. Masa tu memang cuak, tak fikir apa-apa dah. Saya terus angkat dia, gosok belakang badan dan panggil nama dia.
“Masa tu dia nampak macam tak bermaya, hampir pengsan,” kongsinya.
Bagaimanapun, Syasya meluahkan rasa syukur apabila anaknya kembali sedar tidak lama kemudian dan mula menangis seperti biasa.
“Alhamdulillah, tak lama lepas tu dia sedar balik dan menangis dengan suara semula,” katanya.
Dalam perkongsian susulan, Syasya menjelaskan keadaan itu dikenali sebagai breath holding spell, iaitu situasi yang boleh berlaku kepada kanak-kanak kecil apabila emosi mereka terlalu kuat, khususnya ketika sedang mengamuk atau tantrum.
“Rupa-rupanya ini yang dipanggil breath holding spell. Ia boleh berlaku pada anak kecil bila emosi mereka terlalu kuat, terutamanya dalam fasa tantrum,” ujarnya.
Pengalaman tersebut disifatkan Syasya sebagai satu detik yang benar-benar menyentuh perasaannya sebagai seorang ibu.
“Allahu, pengalaman ini buat saya sedar betapa rapuhnya perasaan seorang ibu. Doakan saya terus kuat membesarkan Obot dan Obit,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu mengundang perhatian ramai ibu bapa yang turut berkongsi pengalaman sama, selain menitipkan doa agar Syasya dan keluarganya sentiasa dilindungi.
Sumber: Threads @syasyya.rzl