Aktres Hollywood terkenal, Angelina Jolie seolah-olah patah hati apabila watak Maria Callas menerusi filem biopik, Maria gagal melayakkan dirinya untuk merangkul trofi Aktres Terbaik untuk Anugerah Akademi (Oscar) Ke-97.
Pengumuman senarai pencalonan untuk anugerah berprestij itu telah mengundang pelbagai reaksi dari penggemar filem antarabangsa. Hal ini kerana, ramai yang terkejut apabila melihat senarai calon untuk edisi kali ini kerana ada beberapa nama hebat yang tidak tersenarai terutamanya Angelina.

Foto: Netflix
Biarpun telah memberikan persembahan yang hebat sebagai penyanyi opera dalam filem tersebut, namun Angelina masih gagal menawan hati barisan panel juri awal untuk merebut trofi Oscar.
Mengikut laporan portal Page Six, sumber industri mendedahkan, isu perceraian dengan bekas suami yang juga aktor terkenal, Brad Pitt berkemungkinan menjadi salah satu faktor yang menyebabkan Angelina terlepas pencalonan Oscar.
Walau bagaimanapun, ketiadaan nama Angelina dalam senarai pencalonan menimbulkan rasa kurang senang bagi peminat, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa Angelina dipinggirkan The Academy kerana dia merupakan penyokong Palestin sementelah kebanyakan penggiat seni Hollywood merupakan penyokong Zionis.
Ini dapat dibuktikan apabila salah seorang penyokong kuat Zionis iaitu Zoe Saldana berjaya tersenarai bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Emilia Perez.

Foto: Netflix
Akan tetapi, agensi menyangkal khabar angin tersebut dan menjelaskan bahawa nama Angelina tidak tersenarai disebabkan watak Maria Callas sebagai penyanyi dalam filem biografi lagenda opera arahan Pablo Lorrains itu tidak cukup kuat seperti dua biopiknya sebelum ini, Jackie dan Spencer.
Antara nama lain yang menjadi bualan ramai kerana gagal tersenarai tahun ini ialah Nicole Kidman (Babygirl) , Selena Gomez (Emilia Perez) dan Denzel Washington (Gladiator 2).
Sekadar makluman, Angelina tewas di tangan Cynthia Ervo yang membintangi filem Wicked; Karla Sofia Gascon (Emilia Perez); Mikey Madison (Enora); Fernanda Torres (I'm Still Here) dan Demi Moore (The Substance).
Bagaimanapun, Moore diramal mempunyai peluang cerah memandangkan baru sahaja merangkul trofi Aktres Terbaik, Anugerah Golden Globe, awal bulan ini.
Sumber: The Express Tribune, Berita Harian (Serimah Mohd Sallehuddin)