
Foto: Instagram
Advertisement
Pelakon muda berbakat, Anna Jobling, sekali lagi mencuri perhatian apabila namanya diumumkan sebagai calon bagi kategori Outstanding Asian Star atau Bintang Asia Paling Menyerlah dalam acara berprestij, Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang bakal berlangsung pada 2 Oktober depan di Seoul, Korea Selatan.
Anna, atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman yang kini berusia 25 tahun, meluahkan rasa syukur atas pencalonan itu. Menurutnya, watak Nur Cahaya yang dibawakan dalam drama bersiri popular berjudul Hai Cinta, Dengarkanlah telah memberi impak besar terhadap kerjayanya, sekali gus membuka jalan untuk beliau menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Saya benar-benar tidak menyangka dan sangat terharu dengan berita ini. Pencalonan ini adalah satu penghormatan besar, bukan sahaja buat diri saya, tetapi juga seluruh pasukan produksi Hai Cinta, Dengarkanlah.
“Saya amat menghargai sokongan keluarga, rakan sepasukan serta peminat yang menjadi sumber kekuatan saya. Dengan izin Allah, saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia,” katanya penuh semangat.
Bagi Anna, pencalonan itu bukan hanya sebuah pencapaian peribadi semata-mata. Lebih daripada itu, beliau melihat peluang ini sebagai satu wadah untuk mengharumkan nama negara di pentas seni antarabangsa.
“Saya sangat berterima kasih kerana diberi pengiktirafan ini. Ia bukan sahaja satu kebanggaan untuk diri saya, tetapi juga untuk Malaysia dan stesen televisyen lain yang sentiasa menyokong karya seni tempatan. Saya berjanji akan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam kerjaya seni agar dapat membawa nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Acara SDA 2025 yang akan berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, sememangnya dikenali sebagai majlis anugerah yang penuh prestij dan menghimpunkan barisan bintang terkenal dari seluruh Asia. Tahun ini, Anna bakal berdepan saingan sengit daripada pelakon ternama yang mewakili Korea Selatan, Jepun, China, Thailand, Filipina serta beberapa negara lain di rantau ini.
Lebih menarik, pemilihan pemenang bagi kategori Outstanding Asian Star ditentukan sepenuhnya melalui undian global peminat yang dijalankan menerusi aplikasi IDOL CHAMP. Keputusan ini menjadikan sokongan peminat sebagai faktor penentu utama dalam menentukan siapa yang bakal mengungguli trofi tersebut.
Untuk rekod, pada tahun lalu Malaysia turut mencatat sejarah apabila pelakon terkenal Siti Saleha berjaya diumumkan sebagai penerima anugerah dalam kategori yang sama. Pencapaian itu membuka jalan kepada pelakon tempatan lain untuk terus menyerlah di persada seni antarabangsa, dan kini giliran Anna pula untuk menggalas cabaran besar tersebut.
Sumber: Instagram