Foto: Instagram
Pelakon Anzalna Nasir menitipkan pesanan bermakna kepada pasangan suami isteri agar tidak menilai kebahagiaan rumah tangga semata-mata berdasarkan wang ringgit.
Advertisement
Menurut Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md Nasir, 37, kebahagiaan sebenar lahir daripada usaha dua insan yang saling ingin memperbaiki diri, menghormati pasangan dan sentiasa menzahirkan kasih sayang serta perhatian setiap hari.
“Perkahwinan bahagia bukan hanya bergantung pada wang, walaupun duit tetap penting. Namun kebahagiaan sebenar datang daripada pasangan yang mahu berubah menjadi lebih baik, saling menghormati dan melayan antara satu sama lain dengan penuh kasih sayang,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Pelakon Adam Hawa itu turut menekankan bahawa komunikasi terbuka antara suami dan isteri menjadi kunci utama keharmonian rumah tangga. Pasangan, katanya, perlu berani berkongsi perasaan dan berterus terang dalam setiap perkara supaya tidak timbul salah faham.
“Komunikasi yang jujur dan terbuka sangat penting. Saya berdoa agar semua pasangan dikurniakan hubungan yang panjang, tenang dan membahagiakan,” ujarnya.
Perkongsian ibu kepada dua cahaya mata itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji kematangan serta nilai nasihat yang disampaikan.
“Betul kata Anzalna, duit bukan segalanya. Kalau tiada hormat dan kasih sayang, rumah tangga boleh runtuh,” tulis seorang peminat.
“Setuju sangat! Ramai yang lupa perkahwinan bukan tentang siapa paling kaya, tapi siapa paling sabar dan memahami,” komen seorang pengguna media sosial.
“Doa saya semoga rumah tangga Anzalna terus bahagia, contoh terbaik buat pasangan muda,” tulis seorang lagi netizen.
Anzalna mendirikan rumah tangga bersama Hanif Zaki pada tahun 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak lelaki, Mohamad Eidrees, 6, dan Mohamad Emirhan, 3.
Sumber: Threads