Foto: Tangkap layar Instagram
Penyanyi, Aisha Retno mencuri tumpuan di malam gala tayangan perdana filem Wicked: For Good di Universal Studios Singapore apabila bukan sahaja menjadi satu-satunya wakil Malaysia, tetapi turut menerima pujian terus daripada dua bintang utama filem itu, Ariana Grande dan Cynthia Erivo.
Advertisement
Sejurus bertentang mata, Cynthia memandang Aisha sambil tersenyum sebelum berkata,
“You’re beautiful…”
Pujian itu membuatkan Aisha kelihatan terharu, apatah lagi ia datang daripada salah seorang penyanyi Broadway paling berpengaruh.
Aisha kemudian memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi dari Malaysia yang menjadi suara dubbing Bahasa Melayu untuk watak yang dibawakan Ariana.
Pendedahan itu membuatkan Ariana terus memeluknya sambil berkata,
“You’re amazing…”
Pada ketika itu, Aisha kelihatan sebak kerana akhirnya dapat berjumpa penyanyi kegemarannya secara berdepan, apatah lagi menerima pujian dan pelukan daripada idola yang selama ini hanya dilihat melalui skrin.
Momen bertambah istimewa apabila Aisha menyanyikan lagu For Good di hadapan Ariana dan Cynthia. Kedua-duanya menyertai nyanyian tersebut, mewujudkan suasana yang penuh emosi dan penghargaan.
Ia menjadi detik yang sukar dilupakan, terutama apabila dua bintang Hollywood itu turut mengiktiraf bakat Aisha secara langsung.
Sebagai tanda kenangan, Aisha menghadiahkan batik buatan Malaysia. Cynthia menerima batik merah jambu, manakala Ariana menerima batik berwarna hijau.
Kedua-duanya kelihatan teruja menerima sentuhan budaya Malaysia yang dibawa Aisha ke majlis antarabangsa itu.
Dengan kehadirannya sebagai satu-satunya wakil Malaysia, detik Aisha dipuji, dipeluk dan diberi perhatian oleh Ariana dan Cynthia bukan sahaja menjadi momen peribadi yang menyentuh hati, tetapi juga satu kebanggaan buat peminat di Malaysia.
Sumber: Instagram