Foto: Instagram
Walaupun namanya tidak begitu menonjol dalam arus perdana sukan tempatan, i sebenarnya sudah lama mencipta identiti tersendiri dalam dunia luncur alpine.
Advertisement
Atlet berusia 21 tahun itu kini sekali lagi menggalas tanggungjawab besar sebagai wakil tunggal negara di pentas Olimpik Musim Sejuk yang berlangsung di Milano Cortina, Itali.
Penyertaan kali ini menandakan kemunculan kedua Aruwin di temasya berprestij tersebut. Beliau dijadualkan turun beraksi dalam dua acara utama iaitu Womens Giant Slalom pada 15 Februari dan Women’s Slalom pada 18 Februari, sekali gus membawa harapan Malaysia di bumi Eropah.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Aruwin berkongsi detik bermakna apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang di Cortina. Beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata, lebih-lebih lagi apabila ditemani jurulatih serta ibu bapanya selain kontinjen kecil negara.
“Saya tidak dapat meluahkan dengan kata-kata saat mengibarkan Jalur Gemilang di Cortina bersama dengan jurulatih, ibu dan bapa serta kontinjen kami yang kecil.
“Ibu, ayah kalian telah bersama saya selama ini dan saya bangga dengan kita.
“Buat rakyat Malaysia yang berada di seluruh pelusuk dunia, saya cuba lakukan yang terbaik untuk membuat kalian bangga,” tulisnya.
Terdahulu, dalam wawancara bersama Bernama, Aruwin yang membesar di Amerika Syarikat sebelum menimba pengalaman bermain ski di Kanada menjelaskan bahawa beliau kini berada pada tahap persediaan yang lebih mantap berbanding penampilan sulungnya di Beijing empat tahun lalu.
Dalam satu lagi temu bual, Aruwin menggambarkan perasaannya setiap kali berada di atas lereng salji. Katanya, sukan tersebut memberi satu rasa kebebasan dan lonjakan adrenalin yang membuatkan segala tekanan hidup seakan hilang buat seketika.
“Saya rasa bebas setiap kali meluncur dan ‘adrenaline rush’. Apabila saya meluncur rasanya semua hal yang tak perlu terpadam.
“Masalah hidup atau segala cabaran yang saya alami ‘terbang’ saat saya meluncur, terutama apabila saya melakukannya dengan baik,” ujarnya.
Sumber: Gempak