Foto: Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden bot yang membawa imigran dari Myanmar karam di perairan Pulau Tarutao, berhampiran sempadan Malaysia–Thailand pada 6 November lalu.
Advertisement
Operasi tersebut diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis selepas beberapa mangsa dipercayai imigran ditemui berhampiran perairan Langkawi. Bagi memperkukuh usaha pencarian, pelbagai agensi keselamatan termasuk TLDM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut terlibat.
Dalam operasi ini, Markas Wilayah Laut 3 telah mengatur gerak KD LEDANG dan Fast Combat Boat (FCB) 1331 untuk memperluas kawasan pencarian di laut. Kehadiran aset TLDM membantu meningkatkan keupayaan pengesanan serta memantapkan koordinasi dengan agensi lain di lapangan.
Sejak 10 November, aset TLDM telah berjaya menemui beberapa mangsa termasuk mayat yang dibawa ke Jeti APMM Langkawi untuk tindakan lanjut. Kawasan pencarian kini diperluas meliputi lebih 270 batu nautika persegi, dengan operasi yang masih dijalankan secara menyeluruh bagi mengesan baki mangsa yang hilang.
TLDM menegaskan pihaknya akan terus komited dalam operasi bersepadu ini bagi memastikan semua mangsa dapat ditemukan serta menjamin keselamatan perairan negara.
Sumber: Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia