Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Darah Muda, Semangat Juara: Malaysia Menyala di Bahrain 2025

darah muda, semangat juara: malaysia menyala di bahrain 2025

Foto: BERNAMA

Advertisement

Nama Malaysia kembali bergema megah di pentas antarabangsa apabila barisan atlet muda negara mencatatkan kejayaan membanggakan di Temasya Sukan Remaja Asia Bahrain 2025 (Asian Youth Games 2025 Bahrain) yang berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober.

Dalam acara yang menghimpunkan lebih 45 negara Asia dan mempertandingkan 28 jenis sukan, atlet remaja tanah air tampil menyinar dengan semangat juang luar biasa dan membuktikan bahawa bakat generasi pelapis Malaysia kian mekar, bersedia mengharumkan nama negara.

Antara bintang muda yang mencuri tumpuan ialah Tiftany Sia May Sim, atlet taekwondo dari Pahang yang mempamerkan disiplin dan ketangkasan luar biasa apabila berjaya meraih pingat gangsa bagi acara Poomsae individu wanita. Kejayaan Tiftany bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri kelahirannya, malah mengangkat martabat sukan bela diri negara ke peringkat Asia.

darah muda, semangat juara: malaysia menyala di bahrain 2025

Tidak ketinggalan, pasangan berbakat Muhammad Amirul Danish dan Putri Zarra Arissa Mohammad Abdul Aziz turut mencipta sensasi apabila menggondol pingat gangsa dalam acara Teqball beregu campuran.

Keterampilan Amirul Danish tidak terhenti di situ. Bersama rakan sepasukan Muhammad Rahmat, mereka sekali lagi membawa pulang pingat gangsa untuk acara Teqball beregu lelaki, sekaligus membuktikan dominasi Malaysia dalam sukan baharu yang semakin mendapat tempat di arena antarabangsa.

Temasya yang dirasmikan secara gilang-gemilang di Exhibition World Bahrain, Manama, menjadi lambang penyatuan semangat kesukanan Asia. Bagi kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Chef de Mission, Farah Ann Abdul Hadi, seramai 114 atlet dan 42 pegawai telah membawa cabaran negara dalam 17 jenis sukan yang dipertandingkan.

darah muda, semangat juara: malaysia menyala di bahrain 2025

Foto: Instagram (farahann94)

Lebih daripada sekadar perebutan pingat, Sukan Remaja Asia Bahrain 2025 menjadi pentas melatih ketahanan mental, disiplin dan persahabatan antara bangsa. Ia juga menjadi bukti bahawa pelaburan dalam pembangunan atlet muda bukan sia-sia malah kini membuahkan hasil dengan munculnya generasi ‘Harimau Muda’ yang berani dan berdaya saing di gelanggang dunia.

Sumber: BERNAMA

ERA Muzik Hit Terkini