Foto: Soompi
Kumpulan sensasi global, BLACKPINK, bakal mempersembahkan lagu baharu buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga tahun menerusi konsert jelajah dunia mereka yang akan bermula tidak lama lagi.
Advertisement
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi pengurusan mereka, YG Entertainment, pada 23 Jun, lagu baharu tersebut akan diperdengarkan buat julung kalinya dalam konsert “DEADLINE” yang dijadual berlangsung di Goyang, Korea Selatan pada 5 dan 6 Julai akan datang.
Konsert tersebut turut menjadi pembuka tirai rasmi bagi siri jelajah dunia BLACKPINK yang dinanti-nantikan peminat di seluruh dunia.
Wakil YG Entertainment memaklumkan bahawa pelbagai perbincangan telah diadakan bagi menentukan cara terbaik untuk memperkenalkan karya baharu kumpulan itu.
Akhirnya, pihak pengurusan memutuskan bahawa pelancaran lagu baharu itu akan dilakukan secara eksklusif semasa konsert di Goyang sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang setia menyokong kumpulan tersebut.
“Terdapat banyak pertimbangan berhubung cara terbaik untuk memperkenalkan lagu baharu ini, dan kami memilih konsert di Goyang kerana ia merupakan titik permulaan jelajah ‘DEADLINE’ serta peluang untuk kembali bertemu dengan para peminat.
“Kami akan mengumumkan tarikh rasmi pelancaran lagu tersebut dalam masa terdekat,” jelas wakil berkenaan.
Lagu ini akan menjadi kemunculan pertama BLACKPINK dengan karya baharu selepas hampir dua tahun sepuluh bulan sejak pelancaran album penuh kedua mereka yang berjudul BORN PINK pada September 2022.
Album tersebut mendapat sambutan luar biasa dan melonjakkan lagi kedudukan BLACKPINK sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Kini, dengan persiapan menjelang konsert ‘DEADLINE’, BLACKPINK dijangka menghidangkan persembahan bertenaga serta pengalaman muzik yang segar kepada peminat dari pelbagai negara. Kehadiran lagu baharu ini pastinya menjadi salah satu tarikan utama dalam siri jelajah dunia mereka yang dinanti-nantikan.