Foto: VLive
Kumpulan sensasi global dari Korea Selatan, BTS, telah mengumumkan perancangan rasmi untuk kembali aktif sebagai kumpulan penuh bermula musim bunga 2026 dengan pelancaran album baharu serta siri jelajah dunia yang sangat dinanti-nantikan.
Advertisement
Pengumuman tersebut dibuat semasa sesi siaran langsung mereka di platform Weverse yang mempertemukan ketujuh-tujuh anggota buat pertama kali sejak 2022, iaitu selepas masing-masing menyertai latihan ketenteraan wajib.
Siaran tersebut mendapat perhatian luar biasa dengan lebih 7 juta tontonan dalam masa yang singkat, menandakan keghairahan peminat terhadap kemunculan semula kumpulan berkenaan.
“Kami akan mula fokus kepada penghasilan muzik bermula bulan Julai ini. Album kumpulan kami akan dikeluarkan musim bunga akan datang dan anda tidak perlu tunggu hingga Julai atau Ogos,” ujar mereka.
Kenyataan tersebut jelas menunjukkan betapa seriusnya BTS dalam menyusun semula strategi kerjaya mereka selepas hampir empat tahun berehat sebagai kumpulan.
Selain daripada rakaman album, RM turut mengesahkan bahawa BTS akan mengadakan siri jelajah dunia sejurus selepas pelancaran album.
“Kami akan berkunjung ke seluruh dunia. Sudah tentu, kami juga akan pergi jelajah dunia bermula musim bunga depan. Nantikan kehadiran kami,” tambahnya lagi dengan penuh semangat.
Anggota termuda kumpulan itu, Jungkook, turut meluahkan keterujaan untuk kembali berkarya secara berkumpulan.
“Kali ini, kami benar-benar akan kembali ke mindset asal kami dan berkumpul bersama.”
Jimin pula menyatakan bahawa mereka akan berusaha keras menyiapkan album secepat mungkin.
“Kami akan bekerja keras dan persiapkan album dengan cepat supaya anda tidak perlu tunggu lama,” ujarnya dengan yakin.
Setakat ini, BTS telah menjadualkan pelancaran sebuah album rakaman langsung bertajuk Permission to Dance on Stage – Live yang dijangka akan dikeluarkan pada 18 Julai 2025. Album tersebut akan memuatkan rakaman persembahan mereka di Seoul, Los Angeles dan Las Vegas semasa konsert antara tahun 2021 hingga 2022.
Langkah strategik ini menandakan kemunculan semula BTS sebagai kumpulan penuh buat kali pertama sejak pelancaran album Be pada tahun 2020. Dengan kehadiran semula semua anggota, Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook.
Peminat setia mereka, ARMY, pastinya tidak sabar menantikan karya-karya baharu yang dijangka lebih matang dan penuh makna.
Pelancaran album studio baharu serta siri jelajah dunia ini dilihat sebagai permulaan fasa kedua perjalanan seni BTS. Ia bukan sekadar simbol kemunculan semula, malah merupakan tanda kesungguhan mereka dalam menyambung legasi sebagai ikon muzik global.
Sumber: Kimchi Daily