Foto: Facebook
Rapper terkenal dunia, Cardi B, menjadi perhatian apabila berkongsi pandangan peribadinya tentang ibadah puasa ketika berinteraksi secara langsung bersama peminat di media sosial.
Advertisement
Menerusi sesi siaran langsung tersebut, Cardi atau nama sebenarnya Belcalis Marlenis Almánzar, 34, secara berseloroh berkata dia tidak mampu membayangkan dirinya menjalani ibadah puasa seperti yang dilakukan umat Islam sepanjang Ramadan.
“Saya nak cakap kepada peminat Muslim saya yang sedang berpuasa, mungkin memang sudah ditakdirkan saya tidak dilahirkan sebagai seorang Muslim.
“Kalau saya bangun tidur dan tak makan selama tiga jam pun, kepala saya mula rasa sakit dan saya dengar macam-macam suara pelik. Saya memang tak cukup kuat untuk jadi Muslim,” katanya sambil ketawa.
Dalam klip video yang kini tular, penyanyi lagu I Like It itu dilihat menikmati kentang goreng selepas selesai menjayakan konsert jelajahnya, Little Miss Drama Tour.
Walaupun mengakui tidak mampu menahan lapar, Cardi turut meluahkan rasa hormat terhadap komitmen umat Islam yang sanggup berlapar dan berkorban demi kepercayaan mereka.
“Saya tak boleh hidup dalam keadaan lapar. Tapi orang Islam sanggup korbankan makanan dan minuman untuk Tuhan mereka. Mereka benar-benar sayangkan Tuhan.
“Saya sangat kagum dengan orang yang setia dan taat kepada Pencipta,” ujarnya.
Perkongsian spontan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Rata-rata memuji kejujuran penyanyi tersebut yang bercakap secara terbuka tentang pandangannya, walaupun topik berkenaan melibatkan isu sensitif berkaitan agama.
Sumber: Facebook