Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Jangan Memandai! Cium Bayi Boleh Undang Bahaya Herpes

jangan memandai! cium bayi boleh undang bahaya herpesFoto sekadar hiasan

Perbuatan mencium bayi orang lain mungkin kelihatan sebagai tanda kasih sayang, namun ia sebenarnya boleh mengundang bahaya besar terhadap kesihatan si kecil. Menurut pakar perubatan, bayi yang baru lahir berisiko dijangkiti virus herpes simplex (HSV-1) yang mampu meragut nyawa walaupun ketika usianya baru mencecah sebulan.

Advertisement

Kebiasaannya, apabila seorang kenalan atau ahli keluarga menyambut kelahiran bayi, ramai yang teruja untuk menziarahi. Namun tanpa disedari, sikap tidak berhati-hati ketika menyentuh atau mencium bayi boleh menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan serius. Selain menyebabkan ketidakselesaan, ia juga boleh membuatkan ibu bapa bimbang melihat keadaan anak yang lemah serta tidak bermaya.

Kes Bayi Meninggal Dunia Akibat HSV-1

Pakar Pediatrik, Dr Nisa Khalil, menerusi perkongsian di platform Threads, mendedahkan bahawa tindakan mencium bayi merupakan antara faktor utama penyebaran virus herpes. Beliau turut menyingkap satu kes di United Kingdom (UK) membabitkan seorang bayi perempuan bernama Violet yang meninggal dunia ketika berusia hanya sebulan akibat dijangkiti virus berkenaan.

Menurut Dr Nisa, bayi itu pada mulanya menunjukkan tanda awal seperti kurang menyusu, tubuh semakin lemah dan mengalami jaundis. Tidak lama selepas itu, Violet mula demam panas sebelum disahkan menghidap Herpes Neonatal.

“Kadangkala virus aktif tanpa kita sedar. Cukup sekadar mencium pipi, dahi atau tangan bayi untuk memindahkan virus tersebut,” jelasnya.

Walaupun tiada seorang pun ahli keluarga bayi itu mengalami luka lepuh (cold sore), doktor yang merawat memaklumkan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi pembawa virus HSV-1. Malangnya, ketika Violet dipindahkan ke hospital, organ dalaman seperti hati dan jantung sudah gagal berfungsi, selain turut mengalami sawan. Bayi itu tidak sempat menjalani pemindahan hati dan akhirnya meninggal dunia.

Virus Herpes Boleh Bawa Kesan Buruk

Dalam kalangan orang dewasa, HSV-1 atau cold sore dianggap tidak begitu berbahaya. Namun, bagi bayi yang masih mempunyai sistem imun lemah, virus itu boleh menyebabkan kerosakan saraf otak, hati, malah boleh membawa maut.

Dr Nisa mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang remeh isu ini.

“Kalau ada yang rasa keterlaluan bila ibu bapa melarang mencium bayi mereka, inilah sebabnya. Satu virus kecil boleh menghancurkan kehidupan sebuah keluarga,” katanya.

Kes Bayi Lain Terkena Jangkitan

Selain Violet, kes serupa turut dilaporkan melibatkan seorang bayi bernama Oarlah yang dijangkiti virus herpes pada usia enam bulan. Menurut laporan, tubuh, kepala dan wajah bayi itu dipenuhi bintik merah dan putih termasuk pada mata, selain mengalami bengkak dan selesema.

Ibunya mendedahkan sudah berusaha melindungi bayi daripada disentuh, namun tetap tidak dapat menghalang jangkitan tersebut. “Orang anggap saya paranoid apabila melarang orang mencium bayi, tetapi inilah akibatnya,” jelasnya.

jangan memandai! cium bayi boleh undang bahaya herpesFoto sekadar hiasan

Langkah Pencegahan dan Pantang Larang

Bagi mengelakkan perkara sebegini, pakar menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mencium bayi orang lain, sentiasa mencuci tangan dengan bersih sebelum menyentuh bayi, dan tidak mendekati mereka sekiranya tidak sihat. Enam minggu pertama selepas kelahiran dianggap tempoh paling kritikal untuk melindungi bayi daripada jangkitan.

Selain itu, pengamal keibubapaan, Taufiq Razif, pernah berkongsi beberapa pantang larang ketika menziarahi ibu berpantang dan bayi baru lahir. Antara pesanan beliau termasuklah:

  1. Jangan mencium bayi tanpa izin ibu bapa.
  2. Jangan duduk berdekatan dengan bayi sekiranya anda perokok.
  3. Jangan mendukung bayi sambil memegang minuman panas.
  4. Jangan terlalu memberi nasihat keibubapaan, sebaliknya berikan sokongan.
  5. Elakkan mengejutkan bayi yang sedang tidur.

Walaupun mencium bayi kelihatan sebagai satu tindakan kecil, hakikatnya ia mampu membawa kesan besar yang boleh meragut nyawa. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk lebih berhati-hati, menghormati ibu bapa bayi, serta mengutamakan keselamatan si kecil melebihi keinginan sendiri.

Sumber: Threads

ERA Muzik Hit Terkini