Foto: Instagram
Stesen radio popular ERA, yang dikenali sebagai pilihan utama pendengar di Malaysia, telah melancarkan satu kempen istimewa bertemakan perpaduan nasional menerusi inisiatif Kelas Perpaduan ERA. Kempen ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, selaras dengan slogan baharu mereka, "ERA Kini ERAT" yang membawa mesej mendalam tentang keharmonian dan kesatuan rakyat berbilang kaum.
Advertisement
Kempen ini secara rasmi bermula pada 14 Julai dengan objektif utama untuk mendidik serta menyemai nilai-nilai perpaduan, saling menghormati dan semangat toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia. Inisiatif ini menampilkan pelbagai pendekatan kreatif dan bersifat inklusif bagi memastikan mesej yang dibawakan sampai ke segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda.
Antara pengisian utama kempen termasuklah:
- Kelas Perpaduan ERA yang disiarkan setiap hari Rabu jam 9 pagi di ERA FM. Segmen ini memberi fokus kepada pengenalan budaya-budaya unik dalam kalangan masyarakat Malaysia serta menyampaikan pengajaran tentang pentingnya perpaduan.
- Iklan digital di papan layar gergasi yang akan dipaparkan di beberapa lokasi strategik. Ia bertujuan memperluas capaian mesej kempen ini agar lebih dekat di hati rakyat dari pelbagai latar belakang.
- Video kempen khas yang akan ditayangkan di saluran YouTube ERA, dibintangi oleh penyampai-penyampai popular ERA seperti Nabil Ahmad, Azad Jasmin, Radin Affendy, Isha Norsham dan ramai lagi. Video ini menampilkan pendekatan santai dan kreatif dalam menyampaikan nilai-nilai perpaduan secara halus dan menyentuh perasaan.
- Jelajah Kelas Perpaduan ERA ke sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara. Dalam siri jelajah ini, penyampai ERA akan turun padang bertemu pelajar untuk mengadakan aktiviti interaktif serta perkongsian mengenai pentingnya keharmonian dan semangat muhibah sejak dari bangku sekolah.
Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran menyatakan bahawa ERA bukan sekadar stesen hiburan, tetapi turut menggalas tanggungjawab sosial sebagai platform yang menyatukan suara dan hati rakyat Malaysia.
“Kempen Kelas Perpaduan ERA ini adalah satu peringatan bahawa perpaduan adalah anugerah yang perlu dipelihara bersama. Kami percaya bahawa ia bermula dengan pendidikan, khususnya kepada generasi muda, agar mereka membesar dengan rasa hormat dan kebanggaan terhadap keharmonian negara.”
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah bijak dalam mendekati generasi muda dengan pendekatan kontemporari.
“Kempen ini bukan sahaja memperkukuh peranan ERA sebagai stesen radio hiburan, tetapi juga membuktikan bahawa media arus perdana mempunyai peranan besar dalam membentuk nilai masyarakat dan menyemai semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum,” katanya.
Kempen Kelas Perpaduan ERA dilihat sebagai salah satu inisiatif penting dalam menyemarakkan semula semangat perpaduan nasional di tengah-tengah cabaran perbezaan budaya, bangsa dan agama, sekaligus menjadi jambatan antara hiburan dan tanggungjawab sosial untuk rakyat Malaysia.