Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Erra Fazira Perjelas Belum Tempah Dewan - “Terima Kasih kepada Pihak Berminat Menaja…”

erra fazira perjelas belum tempah dewan - “terima kasih kepada pihak berminat menaja…”Foto: Instagram

Pelakon dan penyanyi tersohor, Erra Fazira, tampil menjelaskan bahawa walaupun dirinya sudah meninjau beberapa dewan acara kebelakangan ini, beliau belum membuat sebarang tempahan rasmi untuk sebarang majlis, sekali gus menafikan dakwaan bahawa tarikh pernikahannya semakin hampir.

Advertisement

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, kunjungan ke beberapa lokasi dewan yang tular itu dilakukan atas pelawaan rakan-rakan yang ingin memperkenalkan lokasi premis perniagaan mereka kepadanya. Beliau menegaskan bahawa tindakan itu bukanlah petanda bahawa majlis perkahwinan sudah hampir, sebaliknya hanyalah tinjauan biasa memandangkan ramai yang memberi cadangan dan sokongan.

“Memang tidak dinafikan ada khabar angin tentang perkahwinan, jadi kita sekadar meninjau lokasi-lokasi yang dicadangkan oleh kenalan. Kawan-kawan pun tahu saya kini berada dalam fasa berkawan dengan seseorang, jadi mereka syorkan tempat-tempat menarik,” katanya ketika ditemui media.

Beliau turut menambah bahawa mereka berdua masih belum membuat keputusan muktamad, dan masih bergantung kepada doa serta restu ramai pihak, terutamanya keluarga.

“Kami okey dan ambil maklum, tapi seperti yang saya katakan, kami masih belum ‘locked’ mana-mana dewan. Nak kata tarikhnya sudah hampir pun belum pasti. Perkara seperti ini (perkahwinan) adalah serius, jadi kalau benar, keluarga saya pastinya sudah dimaklumkan lebih awal,” jelas beliau lagi.

Terima Banyak Tawaran Tajaan

Walaupun masih berteka-teki mengenai spekulasi hubungan istimewanya dengan usahawan Ezwan Zain, 44, atau lebih dikenali sebagai Mr. E, Erra mengakui bahawa beliau menerima banyak tawaran tajaan daripada pelbagai pihak sebaik sahaja khabar angin mengenai perkahwinannya mula tersebar.

“Sejak isu kahwin mula diperkatakan, memang ramai yang hubungi dan berminat nak menaja. Ada yang tanya macam-macam, hantar kertas cadangan dan sebagainya. Kami terbuka, jadi kita dengar dahulu apa yang ditawarkan,” ujarnya dengan nada tenang.

Walau bagaimanapun, beliau menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah SWT, dan pada masa yang sama melahirkan rasa syukur atas perhatian dan sokongan ramai.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang berminat untuk menaja. Mungkin mereka mendengar khabar angin bahawa hubungan kami sudah ke arah yang lebih serius, waullahualam,” tambahnya lagi.

Khabar Pernikahan Oktober 2025 Masih Spekulasi

Terdahulu, terdapat sumber yang mendakwa pasangan ini telah memilih bulan Oktober 2025 sebagai tarikh pernikahan mereka. Malah, menurut sumber tersebut, pasangan ini juga didakwa telah memilih lokasi bagi majlis akad nikah selepas meninjau beberapa venue secara tertutup.

Untuk rekod, hubungan antara Erra dan Ezwan dilaporkan semakin akrab sejak awal tahun ini, dan telah diperkenalkan secara rasmi kepada keluarga apabila ibu Erra sendiri bertemu dengan lelaki berkenaan. Ezwan juga sebelum ini mengakui bahawa mereka mula berkenalan pada Ogos 2024, dan sejak itu menjalinkan hubungan yang lebih serius.

Erra Fazira sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Yusry Abdul Halim pada tahun 2003, namun perkahwinan mereka berakhir pada 2006 tanpa cahaya mata. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 25 Oktober 2007, namun bercerai pada 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, yang kini berusia 16 tahun.

Sumber: Kosmo

ERA Muzik Hit Terkini